Berita

ROS digesa segera lulus daftar 120 cawangan baru DAP

PUTRAJAYA, 24 SEPT: Selepas mengiktiraf Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), DAP mendesak Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan pendaftaran 120 cawangan baru yang dua tahun tertangguh kerana terpaksa menunggu keputusan mahkamah.

Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Anthony Loke Siew Fook berkata, kelulusan pendaftaran cawangan tersebut perlu kerana melibatkan 10,000 anggota baru yang sehingga kini ditangguhkan keahlian.

“DAP menuntut ROS segera bertindak dan jangan berlengah-lagi untuk memberikan pengesahan. Kami juga ingin mengetahui apakah status cawangan-cawangan ini selepas CEC akhirnya diiktiraf.

“Ini penting kerana masih banyak lagi cawangan-cawangan baru yang dalam perancangan,” kata Anthony ketika ditemui di Lobi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, tengahari tadi.

Menurut Ahli Parlimen Seremban itu, cawangan-cawangan yang masih tidak didaftarkan merangkumi enam di Kedah, Pulau Pinang (29), Selangor (19), Sabah (6), Perak (29),  Sarawak (3), Pahang (4), Johor (15), Wilayah Persekutuan (4), Negeri Sembilan (5) dan Melaka (2).

“Ramai di antara ahli-ahli baru yang sudah menyertai DAP lebih setahun, tapi malangnya mereka masih tidak mempunyai status keahlian.

“Hal ini ternyata memberikan kesan besar terhadap kami,” ujarnya.

Namun demikian, hasrat Anthony menemui pihak berwajib agar masalah cawangan baru dapat diselesaikan hari ini masih tidak kesampaian apabila pegawai ROS enggan menemuinya.

Semalam, kemelut 21 bulan ROS dan DAP akhirnya selesai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila pertubuhan tersebut mengiktiraf CEC DAP.

Dalam pendengaran kes saman DAP terhadap agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri itu, ROS bersetuju bahawa CEC DAP yang dilantik pada 29 September tahun lalu adalah sah dan boleh melaksanakan tugas.

Pada 22 Januari lalu, DAP memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan ROS yang enggan mengiktiraf pemilihan semula CEC pada Kongres Khas 29 September tahun lalu.

Menurut notis permohonan dan afidavit, permohonan perintah certiorari dimohon bagi membatalkan keputusan ROS yang enggan mengiktiraf CEC baru tidak memiliki asas undang-undang.

Sebelum itu, DAP bersetuju mengikuti arahan awal ROS untuk mengadakan pemilihan semula selepas CEC Disember 2012 tidak diiktiraf.

Bagaimanapun, ROS enggan menerima keputusan terbaru dan sekali lagi mendakwa terdapat aduan dibuat ke atas pengendalian pemilihan parti, tetapi tidak pernah memberikan butir-butir aduan apabila diminta DAP. -Roketkini.com