Rencana

Sesudah kemelut Khalid, Azmin perlu lebih cermat

Dua tahun sudah, saya dan dua-tiga orang teman sembat berbual dengan Saudara Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar Selangor yang baru mengangkat sumpah semalam. Azmin bercerita kepada kami tentang perjalanan hidupnya sebagai seorang anak muda yang dipaksa ayahnya untuk menternak kambing.

Ini katanya berlaku sekitar tahun 1981, waktu beliau berusia 17 tahun. Ketika sedang sibuk bersiap untuk berhadapan peperiksaan SPM, Azmin disuruh bela kambing.

“Saya ingat lagi 20 ekor kambing, tidak mudah cara menternak kambing ini kerana kalau hujan dia tak boleh keluar, kita terpaksa pergi cari daun nangka untuk memberi makan kepada kambing.”

“Kalau cuacanya baik saya terpaksa bawa kambing-kambing ini pergi ke dalam kebun getah daripada pukul 4 petang hinggalah waktu maghrib, bawa kambing balik ke kandang,” katanya, berkisah kepada kami dengan ayat dan kata yang bersukat dan diatur jelas.

Saya hampir sahaja tidak percaya. Malah, mengenali Azmin pada waktu itu, saya sangkakan beliau sedang mengarang cerita tentang kehidupannya membesar di Kampung Klang Gate.

Tidak cukup kambing, beliau dan keluarganya turut bergiat memelihara ayam dan ikan air tawar serta bercucuk tanam. Demikian latihan yang diberikan ayahnya, yang menurut Azmin bukan bertujuan mendera tetapi melatih melalui proses pembesaran dengan jalan yang sukar supaya memahami erti kemiskinan dan kepayahan.

Tapi itu dulu lah. Cerita bela kambing, ayam dan ikan ini semua sudah tidak ada banyak kena-mengena dengan tugas menjadi Menteri Besar Selangor.

Azmin mengambil-alih pentadbiran negeri Selangor dalam keadaan pakatan politik Pakatan Rakyat hampir sahaja hancur berkecai dikeranakan pergelutan pentadbiran negeri terkaya itu yang bernakhodakan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bergolak kuat. Khalid Ibrahim tersangka dengan pelbagai tuduhan yang masih tidak dapat dihadam oleh ramai orang.

Bagi mereka yang tergolong dalam kalangan ‘loyalist’ Khalid Ibrahim, itulah dia sosok pemimpin ulung, menteri besar terbaik Selangor yang telah mencatat pelbagai kejayaan dari segi ekonomi negeri, bahkan dengan cemerlangnya menyimpan rizab tunai hampir RM3 bilion. Dan kejayaan-kejayaan itu pula mengaburi banyak persoalan pelik berkait Tan Sri Khalid yang tidak dapat dileraikan dan menimbulkan banyak keraguan.

Keraguan-keraguan terhadap kelakuan Khalid sudah banyak ditulis dan dibincang panjang lebar oleh ramai pihak. Terutamanya sebagai sebahagian daripada perencanaan utama Langkah Kajang yang bertujuan tidak lain untuk melengser Khalid Ibrahim daripada jawatan Menteri Besar. Jadi tidak perlu kita bangkitkan lagi.

Khalid Ibrahim sudah bukan lagi satu kerunsingan berat. Yang merunsingkan kita rakyat biasa ini ialah persoalan masa depan sesudah berakhirnya regim pentadbiran Khalid Ibrahim. Apa pula sikap dan jiwa pentadbiran Azmin Ali sebagai Menteri Besar yang baru, dan bagaimana ia akan memberi kesan kepada kelangsungan politik, ekonomi dan kebajikan rakyat Selangor.

Semua orang tahu bahawa Selangor adalah prototaip dan acuan Malaysia di bawah kelolaan Pakatan Rakyat. Kemelut yang melanda Selangor pula menjadi demam panjang yang melelahkan rakyat pendokong Pakatan Rakyat. Sudah banyak masa dan tenaga yang terbuang dalam rangka menyelesaikan permasalahan Selangor, dan tidak sedikit silaturahim yang rosak akibat ‘perang saudara’ ini.

Ia malah menjadi modal percuma kepada parti lawan untuk menyandarkan dakwaan betapa kucar-kacirnya politik Pakatan Rakyat.

Azmin Ali punya tugas besar untuk mengembalikan keyakinan yang telah hilang secara pukal ketika kemelut Selangor ini berlangsung. Dan tugas mengembalikan keyakinan ini bukan semudah menggembala kambing.

Pelantikan Exco baru Selangor satu dua hari ini akan menjadi petunjuk gaya pentadbiran Azmin, dengan melihat bagaimana ia melayani bekas Exco yang dipecat Khalid Ibrahim, serta empat Exco PAS yang kekal bersama Khalid dengan beralasan mahu memastikan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak tumbang.

Kemudian pula kita akan harus menilai belanjawan negeri di bawah kelolaan Azmin, selain persoalan-soalan lain mengenai isu-isu Selangor, termasuk kontroversi lebuhraya KIDEX, penstrukturan semula air, rampasan Bible dan beberapa hal lagi yang tergendala di bawah pentadbiran terdahulu.

Lebih lima juta rakyat Selangor akan mengharapkan sesuatu yang lebih hebat daripada apa yang telah dicapai Tan Sri Khalid. Dan sesudah kemelut Khalid Ibrahim, mereka pastinya akan lebih berjaga-jaga dan tidak akan mudah percaya lagi dengan kerenah ahli politik.

Azmin mesti berjaga-jaga dan lebih cermat dalam pentadbirannya. Takat didih rakyat pastinya sudah tidak sama. – Roketkini.com