Berita

Jadi MB untuk semua, pesan Guan Eng kepada Azmin

GEORGE TOWN, 25 SEPT: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yakin Mohamed Azmin Ali akan menjadi Menteri Besar untuk semua rakyat Selangor seperti matlamat Pakatan Rakyat.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada beliau di atas lantikan sebagai MB Selangor yang baru.

“Seperti yang disebut sebelum ini, DAP akan memberi sokongan penuh kepada beliau,” katanya dalam sidang media semalam.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, Azmin sebagai Timbalan Presiden PKR tentu memahami aspirasi Pakatan Rakyat berhubung negeri yang ditadbirnya.

“Kita percaya beliau akan laksanakan tugasnya sebagai MB mengikut prinsip Pakatan Rakyat.

“Seorang MB perlu mentadbir untuk semua, bukan kepada golongan tertentu sahaja. Saya yakin beliau faham dan akan menjadi MB untuk semua rakyat Selangor,” katanya lagi.

Azmin mengangkat sumpah sebagai MB pada Selasa lalu, menamatkan konflik berlarutan yang menyelubungi negeri terkaya itu.

Sebaik mengangkat sumpah, Azmin mengumumkan akan menilai kembali beberapa isu yang menjadi kontroversi sepanjang pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, seperti perjanjian industri air, rampasan Bible bahasa Melayu dan Projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex). – Roketkini.com