Berita

Batalkan pengulangan kertas UPSR, Muhyiddin mesti letak jawatan

KUALA LUMPUR, 26 SEPT – Setengah juta murid tahun enam yang terkesan akibat kebocoran kertas soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak seharusnya menanggung akibat daripada kecuaian Kementerian Pendidikan.

Oleh yang demikian, DAP menggesa supaya rancangan mengulang semula peperiksaan UPSR bagi kertas Bahasa Inggeris, Tamil dan Matematik dibatalkan.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang membuat gesaan tersebut semalam sambil menyifatkan insiden kebocoran kertas peperiksaan tersebut adalah kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab tahap tertinggi.

Hari ini pula beliau menggesa Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yaasin meletakkan jawatannya lantaran sanggup mengabaikan kepentingan calon-calon UPSR dan memberi sepenuh tumpuan kepada pilihanraya kecil DUN Pengkalan Kubor.

Muhyiddin katanya hanya meluangkan masa untuk satu mesyuarat sahaja berkaitan kebocoran kertas peperiksaan UPSR.

Dalam kenyataan semalam, Kit Siang menyelar Kementerian Pendidikan yang mengambil masa 13 hari untuk mengumumkan bocornya kertas peperiksaan UPSR Matematik dan Tamil.

“Apa yang menghairankan ialah setelah kebocoran kertas Sains dan Bahasa Inggeris disedari pada 10 dan 11 September, Lembaga Peperiksaan mengambil masa hampir dua minggu untuk menyedari bahawa kertas Matematik dan Tamil turut bocor,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah.

Namun kata Kit Siang, rakyat Malaysia tidak berminat untuk mendengar kisah dongeng Umno ini, tetapi apa yang lebih penting ialah persoalan integriti Kementerian Pendidikan.

“Adalah tidak adil untuk meletakkan setengah juta pelajar tahun enam dalam situasi tekanan emosi untuk menduduki semula peperiksaan tersebut. Ia bukan salah pelajar,’ ujarnya

Kit Siang turut menggesa supaya petualang di sebalik kebocoran tersebut diambil tindakan tegas.

“Sekurang-kurangnya untuk meminimakan tekanan emosi setengah juta anak-anak tahun enam hasil kecuaian kementerian ialah dengan membatalkan pengulangan semula kertas Bahasa Inggeris pada 30 September, serta kertas Matematik dan Tamil pada 9 Oktober nanti,” katanya. – Roketkini.com