Berita

DAPSY serah sumbangan solidariti untuk Adam Adli

BUKIT MERTAJAM, 25 SEPT – DAPSY menghulurkan sumbangan solidariti kepada Abdul Halim Hamid, ayah kepada mangsa yang didakwa di bawah Akta Hasutan, Adam Adli.

Sumbangan berjumlah RM1,000 diharap dapat membantu meringankan beban kos jaminan Adam yang ditetapkan mahkamah berjumlah RM5,000. Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim mewakili DAPSY Kebangsaan menyerahkan sumbangan tersebut.

Di samping menyatakan perasaan terharu keluarga beliau atas sumbangan tersebut, Abdul Halim juga menyatakan penghargaan kepada DAPSY kerana prihatin terhadap perjuangan anak muda dalam menuntut kebebasan bersuara, ketelusan pilihanraya, dan membela mangsa Akta Hasutan1948.

Steven ketika dihubungi Roketkini mengecam tindakan kerajaan menggunakan akta penjajah itu untuk membisukan suara-suara alternatif, bukan sahaja dari parti pembangkang malah dari golongan akademik dan anak muda.

“Kerajaan yang demokrasi dan berjiwa rakyat kenapa nak takut dengan pandangan rakyat?

“Apa salah kalau rakyat mengkritik penyelewengan, budaya rasuah dan amalan tidak demokrasi?” soalnya.

“Kerajaan suruh anak muda guna saluran betul untuk bersuara. Tapi mana saluran yang betul? Bila janji pilihanraya nak mansuh Akta Hasutan pun kelentong, (tipu) macam mana anak muda nak percaya pada saluran betul yang diuar-uarkan?” tambah beliau lagi.

Menurut Steven, apabila kerajaan bersikap tuli, anak muda akan terus bangkit dengan lebih lantang.

“Ini boleh dilihat dari sejarah, termasuk sejarah negara kita. Dari zaman datuk nenek kita lawan penjajah, hingga Dr Mahathir selaku ‘kaum Muda’ Umno suatu masa dulu lawan kepimpinan UMNO termasuk Tunku Abdul Rahman.

“Sehinggalah Dr. Mahathir sendiri dilawan oleh golongan muda UMNO yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim,” ujarnya.

Adam Adli didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah Akta Hasutan 1948 dan dijatuhkan hukuman 12 bulan penjara minggu lalu. – Roketkini.com