Berita

Hukum Anwar, perilaku keji Paul Low dan kerajaan BN

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low mempertahankan Akta Hasutan dan membuka semula siasatan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah perilaku keji bertujuan sehabis boleh menamatkan kerjaya politik Ketua Pembangkang itu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, dakwaan kerajaan keatas Anwar kerana ucapannya tiga tahun lalu menunjukkan bagaimana BN tidak pernah menghiraukan mandat majoriti 52 peratus yang diberikan kepada Pakatan Rakyat.

“DAP kesal dengan transformasi Paul Low dari ‘Dr Jekyll’ menjadi ‘Mr Hyde’, dulu menentang kini menyokong Akta Hasutan sebagai satu langkah oportunis keji dan terancang untuk kekal menikmati faedah menjadi menteri.

“Beliau kini sudah tidak lagi dipandu dorongan moral atau idealisme tentang kebebasan bersuara, tapi menumpukan usaha membataskan kebenaran berbanding mengawal kebatilan.

“Secara terbuka mempertahankan Akta Hasutan 1948 kononnya suatu keperluan menjaga keharmonian, Paul Low lebih teruk berbanding rakan sekerjanya yang bukan ahli politik iaitu Datuk Seri Idris Jala,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam sesi pleno bertajuk ‘Hard Talk on Human Rights’ pada persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia semalam, Low mendakwa tindakan ke atas beberapa individu baru-baru ini menerusi Akta Hasutan adalah untuk mengelak kemungkinan berlaku kekacauan.

Kata Low, sejak pilihanraya umum (PRU) ke-13, keadaan semakin panas dan kenyataan yang dikeluarkan sering mengundang kebencian serta ketakutan kepada orang ramai.

Mengecam dakwaan terbabit, Guan Eng menegaskan, Paul Low jelas tidak bertanggungjawab untuk menghalalkan Akta Hasutan sebagai senjata politk terhadap penentang BN.

“Sikap ‘double-standard’ dan dakwaan terpilih oleh Peguam Negara menjangkau bukan saja pemimpin Pakatan, malah melibatkan ahli akademik serta pensyarah fakulti undang-undang terbaik di negara ini.

“Mengapa ekstrimis dan pelampau kaum penyokong BN yang membuat kenyataan mahu membakar Bible berbahasa Melayu atau menimbulkan keganasan termasuk mahu menampar Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok tidak pula didakwa menghasut.

“Malah Marina Mahathir sendiri mengeluh bahawa hanya Utusan Malaysia menikmati kekebalan dan kebebasan penuh mengeluarkan kenyataan paling menghasut tanpa perlu risau sebarang hukuman,” ujar Guan Eng. – Roketkini.com