Berita

Speaker optimis kerjasama dengan MB baru, ucap tahniah Nik Nazmi dilantik Exco

SHAH ALAM, 26 SEPT: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Hannah Yeoh menyatakan rasa optimis untuk bekerjasama dengan Menteri Besar baru Mohamed Azmin Ali.

Dalam kenyataan ringkas, beliau menyatakan keyakinan bahawa Azmin akan meneruskan usaha mempertahankan kebebasan dan mereformasikan DUN Selangor.

“Sebagai speaker, saya optimis untuk bekerjasama dengan beliau, dalam meneruskan agenda melindungi kebebasan serta mereformasikan DUN.

“Terutama bagi meluluskan Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Dewan Undangan Negeri Selangor (Selangor Legislative Assembly Service Commission Enactment – Selesa) yang akan memastikan pengurusan dan pentadbiran Dewan bebas daripada badan eksekutif,” katanya.

Beliau juga mengesahkan menerima surat perletakan jawatan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Timbalan Speaker pagi tadi.

Ia berikutan pelantikan Ketua Angkatan Muda PKR itu sebagai Ahli Jawatankuasa Negeri (Exco) hari ini.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Nik Nazmi atas pelantikan itu. Saya ingin mengesahkan bahawa telah menerima surat peletakan jawatan pagi tadi,” katanya.

“Saya yakin semangat dan jiwa mudanya bakal menjadi aset berharga kepada pentadbiran baru Selangor,” kata Adun Subang Jaya itu lagi.

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada Nik Nazmi atas sumbangan dan kerjasama diberikan, terutama dalam memastikan kelancaran perjalanan DUN serta program ADUN Muda Selangor.

Selain Nik Nazmi, antara muka baru dalam barisan Exco yang diumumkan adalah Adun Batu Caves Amirudin Shari dan Adun Taman Templer, Zaidy Abdul Talib dari PAS. – Roketkini.com