Berita

Tarif air meningkat, sungai tercemar, rakyat Johor makin merana

KULAI, 26 SEPT: Hasil pentadbiran tidak cekap Umno-BN, rakyat Johor kini bukan sahaja dibebankan dengan kenaikan tarif elektrik tapi terpaksa juga menanggung tarif air yang tertinggi di Malaysia.

Menurut Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching, berdasarkan jawapan bertulis Parlimen, tarif air yang tinggi itu jelas berpunca dari keadaan sungai di negeri itu yang lapan darinya tergolong dari kalangan 12 sungai tercemar di Malaysia.

“Adalah sangat menyedihkan untuk menyatakan bahawa bukan saja rakyat Johor sedang membayar tarif air paling tinggi, tetapi sungai kita juga paling tercemar di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menerusi jawapan Parlimen kepadanya sebelum ini, sungai yang tidak dapat didiami ikan dan organisma laut diklasifikasikan sebagai Kelas IV dan V di bawah Piawaian Kualiti Air (INWQS) dengan Kelas 1 sebagai paling terbaik dan V paling teruk.

Jelasnya, terdapat 12 sungai yang berada dalam senarai Kelas IV dan lapan darinya adalah di Johor.

“Sungai itu merangkumi Sungai Air Baloi, Sungai Kempas, Sungai Sebulung, Sungai Buluh, Sungai Danga, Sungai Tukang Batu, Sungai Sengkuang dan Sungai Ayer Merah.

“Soalan yang menjadi tanda tanya adalah mengapa sungai-sungai ini boleh tercemar?,” soalnya.

Setiausaha Publisiti DAP Johor itu menegaskan, daripada berterusan menambah beban kepada rakyat, Kerajaan Negeri sepatutnya mengambil tindakan segera terhadap pihak yang bertanggungjawab mengakibatkan pencemaran tersebut.

“Jika sungai-sungai ini tercemar oleh tindakan segelintir pihak, mereka seharusnya dipertanggungjawabkan untuk membiayai kos operasi tambahan loji rawatan air.

“Kerajaan Negeri wajib untuk segera meningkatkan kecekapan mereka supaya pencemaran air ini dapat diperangi, sekaligus dapat menyediakan air yang lebih murah dan berkualiti,” ujarnya.

Pada 23 September lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor Datuk Hasni Mohammad mengumumkan cadangan menaikkan tarif air di Johor selewat-lewatnya tahun depan.

Hasni berkata, cadangan kenaikan tarif itu dibuat berikutan kos rawatan air meningkat dua kali ganda akibat pencemaran sungai. – Roketkini.com