Berita

Pengendalian insinerator Pangkor teruk, nak bina lebih besar di Kepong? – GAIK

KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Lawatan Gabungan Anti Insinerator Kebangsaan (GAIK) ke insinerator Pulau Pangkor menunjukkan pihak berkuasa tidak mampu menjalankan penguatkuasaan apabila kontraktor XCNT yang mengendalikannya tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

“Kelemahan pengendalian Insinerator Pangkor telah membuktikan Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara gagal menjalankan penguatkuasaan.

“Apa yang membimbangkan ialah pihak yang sama akan mengendalikan insinerator berkapasiti 800-1000 tan di Kepong, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

“Jika mereka tidak mampu mengurus insinerator Pangkor yang berkapasiti kecil, bagaimana mereka boleh mengurus insinerator yang berkapasiti berpuluh ganda lebih besar?” kata GAIK dalam satu kenyataan.

GAIK adalah gabungan NGO dan tokoh politik yang prihatin terhadap alam sekitar, antaranya Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming, Ahli Dewan Undangan Pantai Remis Wong May Ing, Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Zulkefly Mohd Omar, Gabungan Anti Insinerator Cameron Highlands dan Selamatkan Bukit Payong.

Lawatan mereka ke Pulau Pangkor 15 September lalu mendapati pengurusan insinerator penuh lemah dari aspek pengurusan dan pematuhan peraturan alam sekitar.

Antara kelemahan tersebut adalah;

– Parit tempat sisa pepejal yang tersumbat serta air larut lesap (leachate) yang melimpah mengakibatkan pencemaran logam berat.

– Penyelarasn lemah antara kerajaan negeri dan persekutuan mengakibatkan tapak pelupusan insinerator diuruskan dengan teruk.

– Pengasingan sisa tidak sempurna, antaranya material toksik seperti bateri dan alat elektronik mungkin dibakar bersama sisa perbandaran

– Tidak mencapai julat suhu pembakaran dibenarkan JAS (850 – 1000 darjah celcius) menghasilakn gas dioksin yang berisiko mengakibatkan kanser.

Justeru, GAIK menggesa Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan bersama empat syarikat yang disenarai pendek bagi projek Insinerator Kepong melawat sendiri insinerator Pangkor untuk melihat sendiri bagaimana teruknya ia dikendalikan.

The Edge 22 September lalu melaporkan, empat syarikat yang disenarai pendek itu adalah UEM Environment Sdn Bhd, DRB-Hicom Berhad, Puncak Niaga Holdings Berhad dan Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB).

“Kami juga menyeru agar kerajaan menghentikan projek insinerator ‘mega’, seperti di Kepong serta menggantikannya dengan konsep ‘zero waste management’ yang telah terbukti berjaya di luar negara seperti di Napoli, Itali dan Nova Scotia, Kanada,” kata GAIK lagi. – Roketkini.com