Berita

Tak perlu tubuh Bank Perumahan, tapi wujudkan pakej pinjaman khas

GEORGE TOWN, 27 SEPT: Kerajaan Pulau Pinang mencadangkan agar satu pakej pinjaman khusus bagi memudahkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah dari kelas pekerja (working class) mendapat kelulusan pinjaman untuk membeli rumah mampu milik di Malaysia.

Menurut Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo, pakej khas seumpama itu lebih sesuai berbanding cadangan menubuhkan bank baru bagi menyediakan perkhidmatan itu.

“Kebimbangan kami adalah bank perumahan baru akan bertentangan dengan Akta Bank dan Instiusi Kewangan (1989).

“Selain itu, ia juga akan memakan masa (untuk menubuhkannya),” katanya, menurut laporan Buletin Mutiara.

“Maka kami mencadangkan agar kita menggunakan sistem sedia ada, iaitu dengan kerajaan Persekutuan, Bank Negara dan semua bank komersil bersetuju untuk mewujudkan satu pakej khas dengan kadar faedah yang rendah,” katanya lagi.

Beliau merujuk cadangan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan untuk menubuhkan Bank Perumahan (Housing Bank) bagi menyediakan pinjaman kepada golongan tersebut.

Difahamkan, Rahman meminta Jabatan Perumahan Negara mengeluarkan lesen peminjam wang kepada koperasi atau syarikat insurans yang lebih besar untuk menyediakan dana bagi pinjaman perumahan.

Sedangkan realitinya menurut Jagdeep, buat masa ini bank menolak antara 50 hingga 70 peratus permohonan pinjaman perumahan.

“Kita boleh membina banyak rumah mampu milik yang diperlukan, namun ia tidak berguna jika golongan yang memerlukannya tidak boleh mendapat pinjaman dari bank.

“Malangya golongan berpendapatan tinggi dan rendah dikenakan kadar faedah yang sama,” tambahnya.

Kata Jagdeep cadangan pakej khas pinjaman perumahan dengan kadar faedah yang rendah turut dipersetujui Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Pulau Pinang Datuk Jerry Chan.

“Apa yang perlu bagi pakej pinjaman khas ini ialah kadar faedah yang rendah bagi pemohon pinjaman rumah mampu milik dan membantu pembayaran faedah,” katanya lagi. – Roketkini.com