Berita

Isu MB sudah berakhir, tamatkan perselisihan dalam Pakatan

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Setiap parti dalam Pakatan Rakyat, terutama PAS diminta melupakan salah faham yang timbul sepanjang isu Menteri Besar Selangor dan melihat gambaran lebih besar, iaitu menumbangkan Umno BN.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku Lau Weng San berkata, Pakatan tidak mempunyai banyak masa lagi menjelang Pilihanraya Umum (PRU) ke-14.

“Saya memohon dan merayu agar rakan dalam PAS melihat gambaran lebih besar. Kita harus sentiasa ingat, dalam sejarah, tiada satu parti yang boleh menewaskan BN.

“Hakikatnya untuk menewaskan BN, setiap parti pembangkang perlu bergabung. Dalam terminologi PAS sendiri, ia dipanggil ‘Tahaluf Siyasi’,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara isu utama yang menghangatkan pergeseran antara DAP dan PKR dengan PAS adalah apabila dua wakil rakyat PAS, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) mengambil langkah menyokong Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai MB baru, bertentangan dengan keputusan pimpinan parti itu.

Katanya, langkah itu diambil semata-mata untuk menyelamatkan kerajaan Pakatan Selangor, sejajar dengan keputusan rakyat negeri pada PRU lalu.

“Pengalaman lalu menunjukkan BN sentiasa mengintai peluang untuk merampas Selangor dengan tipu helah, seperti melemahkan Pakatan – termasuk cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dengan parti dalam Pakatan.

“Jika sokongan tidak diberi, ketidaktentuan akan berlaku. Janji kita sebagai wakil rakyat terhadap rakyat lebih besar berbanding janji kepada parti.

“Seperti patah Melayu, ‘kerbau dipegang talinya, manusia dipegang janjinya’. Suka atau tidak, 52 peratus pengudi mengundi kita atas dasar bersama Pakatan,” katanya lagi.

Pelantikan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai MB baru 23 September lalu, serta pelantikan barisan Exco baru Jumaat lalu menutup tirai kemelut tersebut yang berlanjutan sejak awal tahun ini.

“Kini semua sudah berakhir. Maka saya menyeru rakan seperjuangan, khususnya dalam PAS melupakan sengketa lama, dan tumpu perhatian untuk melaksanakan janji Pakatan kepada rakyat. Penggal kita kini tinggal kurang daripada empat tahun,” katanya lagi. – Roketkini.com