Berita

Konvensyen DAP Johor di Segamat 12 Oktober depan

SEGAMAT, 28 SEPT: DAP Negeri Johor mengumumkan Konvensyen Tahunan DAP Negeri akan diadakan di Segamat pada 12 Oktober depan.

Pengerusi DAP negeri Liew Chin Tong berkata, Segamat dipilih sebagai tuan rumah sebagai usaha memberi dorongan kepada pemimpin tempatan dalam usaha memenangi kawasan tersebut pada pilihanraya yang akan datang.

“ Kita yakin, konvensyen kali ini akan membuka lebih banyak ruang kepada pemimpin tempatan bersama pemimpin pusat yang akan hadir pada hari tersebut dan bersama-sama berbincang bagi memperkukuh parti di peringkat tempatan,” kata Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang.

Beliau turut mengesahkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng serta beberapa lagi tokoh nasional DAP turut hadir.

Pada sidang media sama, ADUN Mengkibol Tan Hong Pin menyentuh isu berkaitan Syarikat Air Johor (SAJ) dan mendesak kerajaan negeri menetapkan indeks prestasi untuk SAJ sebelum layak meminta kenaikan tarif air di Johor.

“SAJ memperoleh keuntungan lepas cukai sebanyak RM 151.8 juta atau margin keuntungan lebih 20 peratus pada tahun 2012.

“Angka ini adalah hampir dua kali ganda kadar ditetapkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang yang mencatatkan margin keuntungan 11.8 peratus pada tahun yang sama.

“Maka SAJ tidak seharusnya begitu mudah untuk meminta menaikkan tarif air dalam keadaan syarikat itu mendapat keuntungan,” ujar Hong Pin yang juga Ketua DAPSY Johor.

Sementara itu, menyentuh isu kenaikan kadar tol melibatkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Singpaura, Adun Senai Wong Shu Qi berkata, tidak masuk akal apabila Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai tidak terlibat dalam Jawatankuasa Bersama Menteri.

Merujuk laporan laman web Singapura todayonline.com, Liow dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wee Ka Siong berkata kerajaan Malaysia akan bertemu pihak Singapura untuk membincangkan isu tersebut selepas republik itu mengumumkan kenaikan kadar tol bulan depan.

Liow berkata kabinet Malaysia bimbang dengan langkah Singapura dan pihaknya bersama Menteri Luar Malaysia Datuk Anifah Aman merancang bertemu rakan sejawat di Singapura untuk mencari penyelesaian, namun sehingga ini tidak ada sebarang perkembangan.

“Beliau (Tong Lai) seharusnya mewakili Malaysia dalam mesyuarat tersebut untuk bekerjasama membantu menyelesaikan masalah kadar tol di CIQ.

“Kami mendesak beliau untuk segera campur tangan,” kata Shu Qi yang juga Ketua Biro Polisi DAP Johor. – Roketkini.com