Wawancara

#MansuhAktaHasutan: Akta penjajah yang sudah dimansuh ‘Baginda Queen’ sendiri

Akta Hasutan menyekat hak dan bebasan asas semua rakyat Malaysia, iaitu kebebasan bersuara dan memberi pendapat. Ia menjenayahkan perkara-perkara yang diakatakan menghasut, ia memberi kesan kepada semua tanpa mengira sebarang batas. Kalau contohnya seorang warga tua di tebing laut Terengganu sedang bikin keropok lekor misalnya marah harga beras naik, pendapatnya itu pun hampir sahaja boleh dikategorikan sebagai menghasut.

Pihak berkuasa boleh sahaja menggunakan Akta Hasutan ke atas sesiapa sahaja, pada bila-bila masa, asalkan sahaja ia tidak suka dengan pendapat atau kritikan yang kita suarakan, tidak kiralah sama ada kritikan kita itu berniat menghasut atau tidak, mahupun sama ada kritikan kita itu berjaya atau gagal membawa kesan kepada sesiapa.

Bukan sahaja ahli politik, rakyat biasa yang tidak ada kepentingan politik juga sudah diheret ke kandang tertuduh dikeranakan Akta Hasutan; termasuk yang melakukan aktiviti di Facebook, serta pensyarah yang memberikan pendapat akademik. Malah peguam yang memberikan pendapat undang-undang pun tidak terlepas.

Peguam Lawyers for Liberty, Michelle Yesudas di tengah kesibukan jadualnya membela beberapa orang anak guam termasuk Ali Abd Jalil, menceritakan betapa zalimnya undang-undang lapuk tinggalan penjajah ini digunakan untuk membungkam suara tidak puas hati rakyat biasa.

“Ali seperti juga rakyat Malaysia yang lain turut memiliki akaun Facebook, dan beliau sangat kritis. Mereka yang terperangkap di bawah Akta Hasutan tidak semestinya ahli politik, akademik atau orang yang dikenali ramai.”

“Sudah sekian lama kita disekat daripada partisipasi politik pasca regim Mahathir. Kita diajar bahawa pendapat politik bukanlah sesuatu yang baik. Lebih baik cari kerja dan kumpul duit,” ujarnya. Keadaan ini apabila ditambah dengan ancaman Akta Hasutan menjadikan hak berpendapat dan memberi kritikan suatu kesalahan jenayah.

“Kesan hal ini terhadap orang ramai membuatkan kita tidak mampu memiliki pemikiran atau pendapat yang kritis, apatah lagi menyuarakan pendapat tersebut secara terbuka. Apa jadi kalau suatu hari nanti kesabaran rakyat biasa hilang.”

Ya apa jadi jikalau kesabaran rakyat sampai ke takat didihnya; beras naik harga, anak tidak dapat melanjutkan pelajaran, harga petrol mahal, pemimpin rasuah, ke mana nak diluahkan kritikan ini sekiranya apa sahaja pendapat yang bertentangan dengan kesukaan pemerintah boleh sahaja dikategorikan sebagai menghasut.
“Tidak ada apa-apa yang menghalang kita daripada didakwa (di bawah Akta Hasutan) pada ketika ini. Ahli akademik moderat seperti Azmi Shahrom pun turut didakwa,” tambah Michelle.

Kita juga harus mengambil kira mereka yang belum lagi didakwa, tetapi setakat disiasat di bawah Akta ini. Termasuklah murid sekolah berusia 17 tahun. Kita tidak boleh mengasingkan soal siasatan di bawah Akta ini kerana ia juga berjalan sebagai sebahagian daripada penindasan yang berlaku di bawah Akta Hasutan.

Akta Hasutan dijadikan oleh pihak penjajah British jauh sebelum negara mencapai kemerdekaan. Pada ketika itu ia digubal untuk memastikan pihak kerajaan British sewaktu itu tidak dicabar. Sudah menjadi modus operandi bagi British untuk meletakkan Akta Hasutan di tanah-tanah jajahannya supaya pihak yang dijajah tidak bangkit melawan.

altAhjOM99SNi6sBDowF-T1xuuq6Xl9-N_Cowg5yZStmiFZIa digubal pada tahun 1948 untuk mengawal aktiviti militan komunis pada ketika itu. Menariknya, tidak ada satu pendakwaan pun di bawah Akta ini semasa pihak British menjajah. Hanya selepas kemerdekaan dicapai barulah kita melihat ia digunakan untuk membuat pendakwaan di mahkamah. Dan penggunaan Akta tersebut meningkat dengan begitu mendadak kebelakangan ini jika hendak dibandingkan dengan 50 tahun sebelum ini.

Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kedua-dua hak bersuara dan hak daulah untuk menggubal undang-undang bagi mengekang hak tersebut.

Majlis Peguam dalam mesyuarat tergemparnya telah pun menerima usul untuk menggesa supaya Akta Hasutan segera dimansuhkan, bertepatan dengan janji Perdana Menteri Najib Razak untuk memansuhkannya dua tahun lalu. Janji tersebut kemudiannya diulangi lagi tahun ini. Bukan itu sahaja, Majlis Peguam turut bercadang untuk menzahirkannya ketidaksukaannya itu dengan berarak.

700 lebih peguam yang hadir ke mesyuarat tersebut menyokong usul supaya Majlis Peguam berarak, dengan 13 suara menentang. Ia mencerminkan sentimen umum para pengamal undang-undang bahawa Akta ini adalah tidak lagi relevan. Bahkan di negara ‘Baginda Queen’ sendiri pun akta yang digunapakai sejak 1661 telah dimansuhkan pada tahun 1967.

“Perarakan para peguam diharap dapat menggesa supaya Akta tersebut dimansuhkan. Hampir setiap hari kini kita mendengar pertuduhan dan siasatan baru.”

“Kita mempunyai sebuah undang-undang yang tidak sepatutnya wujud dalam sebuah negara demokrasi. Undang-undang itu pula disalahguna hampir setiap hari dengan pendakwaan terpilih, sehinggakan aktivis anak muda berhadapan hukuman penjara,” tambah Michelle.

Mereka dipenjara hanya kerana menyuarakan pendapat. Dan sebaik sahaja seseorang didakwa, tidak ada jalan untuk mendapatkan keadilan.

“Tidak ada cara untuk memastikan keadilan benar-benar ditegakkan sebaik sahaja seseorang disabitkan dengan tuduhan di bawah Akta Hasutan,” katanya lagi sambil menambah bahawa ketimbang menggunakan undang-undang tersebut untuk memastikan keharmonian, ia digunakan sebagai ancaman yang menyebabkan orang ramai tidak boleh berpendapat lagi. – Roketkini.com

10679832_10152650269259333_5571338354103352371_o