Berita

Najib perlu terjemah imej sederhana di peringkat antarabangsa dengan tindakan

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak wajib menterjemahkan imej kesederhanaan dan keterbukaannya pada peringkat antarabangsa kepada tindakan dan dasar pentadbirannya di dalam negara.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, sikap hipokrit Najib berhubung tindakan pentadbirannya selama ini pasti akan memakan diri dengan hilangnya rasa hormat dan kredibilitinya di dalam dan luar negara.

“Najib perlu menyelaraskan dasar pentadbirannya dengan kenyataannya di peringkat antarabangsa, atau beliau akan hilang kredibilti dan peghormatan semua pihak,” katanya lagi.

Najib dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengecam tindakan militan Islamic State in Iraq and Syria (ISIS) dan menyeru masyarakat antarabangsa bersatu melawan ekstremisme dalam agama.

“Kita menolak apa yang dipanggil sebagai Islamic State ini…Kita tahu ancaman terhadap keamanan dan keselamatan dunia bukanlah Islam, tetapi ekstremisme militan yang ganas dan tiada toleransi,” Najib dipetik dari ucapannya.

Memuji kenyataan Najib itu, Kit Siang bagaimanapun meluahkan rasa kecewa dengan tindakan pentadbiran Najib yang sama sekali berbeza.

“Seperti mana Islam tidak diancam di peringkat antarabangsa, ia juga tidak diancam di Malaysa.

“Sesiapa yang menggunakan Islam untuk mengabsahkan ekstremisme dan tindakan tidak toleransi perlu dibendung, baik di dalam mahu pun di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Gugur semua tuduhan Akta Hasutan

Ahli Parlimen Gelang Patah itu merujuk tindakan kerajaan BN menahan tokoh politik Pakatan, aktivis masyarakat dan mahasiswa di bawah Akta Hasutan baru-baru ini, atas alasan yang tidak munasabah.

Pada masa sama, pihak-pihak yang cuba mencetuskan permusuhan antara kaum dan agama tidak dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Selama enam minggu ini, katanya, rakyat melihat siri tahanan di bawah Akta Hasutan oleh kerajaan bertujuan menutup kebebasan bersuara dan kritikan, manakala unsur ekstrem dan tidak toleransi dalam negara mendapat kekebalan undang-undang.

Kit Siang memberikan dua cadangan kepada Najib, agar setiap seruannya di peringkat antarabangsa mencerminkan petadbirannya.

“Najib perlu membawa usul mengutuk keganasan dan keganasan ISIS tanpa syarat apabila persidangan Parlimen bermula 7 Oktober ini.

“Beliau juga mesti gugurkan semua tuduhan dan menamatkan siri siasatan dan dakwaan jahat dan terpilih di bawah Akta Hasutan yang berlaku selama enam minggu ini,” katanya lagi.- Roketkini.com