Berita

DAP sokong Azmin, nafi khabar angin undi tak percaya terhadap MB

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: DAP menafikan sepenuhnya khabar angin undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali pada sidang Dewan Undangan Negeri, November ini.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, khabar angin yang turut diulas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak benar sama sekali.

“DAP tidak menerima sebarang petunjuk akan ada usul tersebut dan akan menentang apa saja usul tidak percaya terhadap Azmin kerana 15 ADUN kami menyokong Timbalan Presiden PKR itu sebagai MB.

“Saya sendiri telah bercakap dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi untuk menyampaikan komitmen DAP kepada Azmin bagi memastikan kestabilan politik yang diperlukan di Selangor,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Media arus perdana semalam melaporkan dakwaan Dr Mahathir bahawa wujud kemungkinan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Selangor November nanti.

Bekas Perdana Menteri itu berkata krisis Menteri Besar Selangor mungkin akan terus berlarutan sekiranya Azmin gagal memperoleh sokongan majoriti DUN.

Justeru, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan memohon Azmin diberi sokongan padu dalam pentadbirannya agar beliau dapat membawa kemakmuran dan manfaat kepada seluruh rakyat di negeri ini.

“DAP menolak khabar angin ini dan akan membantu Azmin memulihkan keyakinan serta sokongan rakyat di Selangor demi keadilan, kebebasan, tadbir urus baik dan bersih di Malaysia,” ujarnya. – Roketkini.com