Berita

Pentadbiran telus Selangor tiup angin perubahan ke Negeri Sembilan

SEREMBAN, 29 SEPT: Pentadbiran yang telus dan meletakkan kepentingan rakyat di Selangor akan menjadi pemangkin kepada perubahan ke Negeri Sembilan, kata Pengerusi DAP negeri Anthony Loke Siew Fook.

“Pencapaian Pakatan Rakyat di Selangor termasuk Pulau Pinang penting kerana ia mampu menjadi penjana perubahan di seluruh negara.

“Dasar dan pendekatan pentadbiran Pakatan di kedua-dua negeri ini yang mempunyai komposisi penduduk berbilang kaum dan agama, akan menjadi model dan contoh pentadbiran untuk memenangi sokongan rakyat dalam pilihanraya umum (PRU) ke-14.

“Perkongsian kuasa yang adil juga membantu kami di Negeri Sembilan untuk meyakinkan pengundi bahawa DAP dalam Pakatan tidak sama dengan parti komponen BN.

“Kita semua berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah,” katanya dalam ucapan di Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan di Seremban 2, semalam.

Dalam PRU ke-13 lalu, DAP Negeri Sembilan mencatatkan pencapaian paling cemerlang dengan memenangi semua kerusi yang ditandingi.

Namun kata Anthony, kemenangan tersebut tidak menjamin kejayaan di masa hadapan tanpa kerjasama setiap anggota parti dan usaha gigih setiap wakil rakyat DAP.

Justeru, demi merealisasi agenda perubahan dan mengikut jejak langkah Selangor serta Pulau Pinang, beliau menggariskan lima perkara wajib dilaksana di Negeri Sembilan.

“Bulan madu sudah lama berlalu. Kemenangan lalu tidak menjamin kejayaan dalam PRU14. Semua wakil rakyat DAP Negeri Sembilan perlu ingat, prestasi kita dipantau para pengundi.

“Setiap wakil rakyat mesti menjalankan tanggungjawab dengan serius dan wajib memperjuangkan isu dan masalah rakyat di setiap persidangan di Parlimen dan DUN, menguruskan pusat khidmat secara profesional dan sentiasa mesra rakyat.

“Inisiatif baru juga perlu dilaksanakan di kawasan masing-masing dengan kerjasama cawangan-cawangan tempatan dan meningkatkan tahap pengenalan wakil rakyat DAP melalui saluran komunikasi serta liputan media pelbagai bahasa,” ujarnya. – Roketkini.com