Berita

Tarik balik sekatan guna keputusan percubaan SPM untuk ke pra-universiti

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: DAP hari ini mengesa Kementerian Pendidikan menarik balik pengumuman mereka yang tidak membenarkan keputusan percubaan SPM diguna pakai dalam kemasukan pra-Universiti.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming berkata, langkah tersebut sama sekali tidak adil kepada pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di kolej dan universiti swasta.

“Saya tidak pernah melihat notis dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan kepada kolej dan universiti swasta mengenai pengumuman sekatan dan tidak menyatakan sebab mengapa mereka secara tiba-tiba mengubah polisi.

“Jika tidak ada masalah dengan kualiti peperiksaan percubaan SPM yang biasanya lebih susah daripada peperiksaan SPM sebenar, apa keperluan sekatan?

“Selagi tidak ada sebab yang munasabah, Kementerian harus segera menarik balik langkah tidak munasabah dan tidak adil ini,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Kian Ming menyatakan, majoriti pelajar yang memasuki pra universiti di kolej dan universiti swasta menggunakan keputusan percubaan melanjutkan pelajaran ke luar negara pada bulan Januari.

Jelasnya, kalendar akademik program pra universiti dan asasi biasanya adalah mengikut tarikh pengambilan universiti luar negara dan pelajar membuat permohonan menggunakan keputusan percubaan SPM.

“Sebagai contoh, program Matrikulasi Australia yang ditawarkan di Sunway College, bermula pada bulan Januari dan hanya akan selesai dalam tempoh 8 hingga 10 bulan.

“Pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ijazah di United Kingdom, masa yang diambil untuk program A Level adalah satu setengah tahun, bermula Januari sehinggalah mereka dapat memasuki universiti pada September atau Oktober berikutnya,” ujarnya.

Beliau menegaskan, jika kementerian memaksa pelajar menunggu 3 bulan sehingga keputusan rasmi SPM keluar pada akhir Mac, bermakna program asasi akan dipendekkan kepada 15 bulan berbanding 18 bulan atau kemasukan mereka ke universiti terpaksa ditangguhkan selama setahun.

“Jadi saya nak tanya, macam mana pula kalau kertas SPM bocor lagi? Jika keputusan SPM lambat kerana masalah kebocoran, ia tentunya akan menghalang mereka untuk memasuki program pra-universiti dan asasi,” katanya.

Kementerian Pendidikan semalam mengumumkan pelajar lepasan sekolah menengah tidak lagi dibenarkan menggunakan keputusan Percubaan SPM untuk memasuki program asasi atau pra universiti bermula Januari.

Menurut kementerian, sekatan ke atas keputusan itu adalah berikutan kelayakan kemasukan tidak lagi seperti tahun sebelumnya.

Langkah drastik tersebut ternyata telah mengejutkan industri pendidikan swasta yang mengutamakan pelajar menggunakan keputusan Percubaan SPM sejak lebih 30 tahun lalu. – Roketkini.com