Berita

Jangan hukum anggota PPS kerana hasad dengki politik

GEORGE TOWN, 30 SEPT: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berharap Pasukan Peronda Sukarela (PPS) diberi keadilan dan tidak dianiaya hanya kerana hasad dengki politik terhadap kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Beliau ketika ditemui pemberita di perkarangan ibu pejabat polis daerah Timur Laut di Jalan Patani hari ini berkata, pihak berkuasa perlu melihat khidmat bakti mereka yang selama ini berkorban masa dan tenaga demi menjaga keselamatan orang ramai.

“Mereka hanya menjalankan tugas kepolisan masyarakat. Janganlah mereka dianiaya kerana hasad dengki politik. Saya berharap perkara ini dapat disahkan di mahkamah untuk menuntut kebenaran kepada semua,” kata Guan Eng.

Guan Eng pagi ini hadir ke ibu pejabat polis daerah Timur Laut bagi memberi sokongan kepada 154 anggota PPS yang dianjutkan tempoh ikat jamin kepada sebulan bagi meneruskan siasatan terhadap organisasi yang ditakrifkan sebagai haram itu.

Hadir sama Pengerusi PPS, Phee Boon Poh, Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik dan ADUN Seri Delima RSN Rayer.

Rayer ketika ditemui menyatakan bahawa lanjutan reman tersebut adalah bagi kali yang pertama, dan polis mesti memutuskan sama ada untuk meneruskan pendakwaan terhadap 154 anggota PPS.

Pada sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos lalu, polis menahan anggota PPS selepas mereka menyertai perbarisan kemerdekaan yang dianjurkan kerajaan negeri dan kesemua mereka kemudiannya dilepaskan dengan ikat jamin polis selepas kenyataan diambil.

Justeru, Guan Eng bertegas bahawa kerajaan negeri akan terus mempertahankan PPS dan melindungi anggotanya melalui jalan undang-undang kerana yakin organisasi itu ditubuhkan dengan hasrat membendung jenayah.

“Peguam dan kerajan negeri bersedia untuk menuntut keadilan di mahkamah. PPS ditubuhkan empat tahun lalu, tak jadi masalah. Kita dah dapat kerjasama dengan pihak polis, ada dokumen untuk buktikan perkara ini.

“Kita dapat pengesahan daripada orang ramai, cuma ada sesetengah media membuat tuduhan tentang PPS. Mereka lari dari pandangan orang ramai yang tahu sumbangan PPS.

“Takkan satu dua orang yang membuat kesalahan, maka semua (anggota PPS) disalahkan? Polis pun ada buat salah, takkan semua 120,000 anggota polis juga hendak disalahkan?

“Kita kerajaan negeri takkan bela yang melakukan kesalahan,” tegas Guan Eng. – Roketkini.com