Berita

OKT ke-10 mati dalam tahanan di Pulau Pinang, polis pikul tanggungjawab

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab penuh di atas kematian seorang Orang Kena Tuduh (OKT) yang jatuh dari tingkat satu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, dua hari lalu.

Ketua Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo berkata, ini kerana sama seperti kes mendiang Teoh Beng Hock, tahanan itu berada dalam jagaan polis ketika insiden berlaku.

“Undang-undang jelas menyatakan semua langkah perlu diambil bagi memastikan individu yang ditahan untuk siasatan adalah selamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Insiden itu mengingatkan kembali tragedi menimpa Teoh Beng Hock, yang mati selepas ‘jatuh’ daripada pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14, Plaza Masalam lima tahun lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi dilaporkan berkata, lelaki berusia 56 tahun yang ditahan atas kes penipuan itu mati ekoran kecederaan parah di kepala selepas terjun daripada bangunan kira-kira jam 1 tengah hari 28 September lalu.

Katanya lagi, insiden itu berlaku ketika seorang pegawai penyiasat mengambil keterangan lelaki itu, sebelum beliau berlari merempuh pintu bilik dan terjun.

Ahli Parlimen Puchong itu mendesak siasatan penuh dilakukan, dan mesti dijalankan pegawai polis yang bebas dan tidak berkaitan dengan siasatan kes lelaki itu.

“Ia amat mengecewakan. Kematian dalam tahanan seperti ini tetap berlaku, walaupun selepas Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock,” katanya.

Gobind memaklumkan kes ini merupakan kematian dalam tahanan di Pulau Pinang ke-10 dalam sembilan bulan.

Katanya lagi, selain siasatan terhadap kes itu, satu kajian berhubung kelemahan sistem perlindungan tahanan juga perlu dijalankan segera.

“Sesuatu perlu dilakukan untuk menghentikan kes sebegini. Saya menggesa Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) untuk melihat sendiri perkara ini dan memastikan siasatan penuh dan bebas serta mengambil tindakan terhadap anggota polis yang bertanggungjawab,” katanya lagi. – Roketkini.com