Berita

Sahih, Zahid Hamidi langgar sumpahnya sendiri

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Sumpah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi musnah begitu sahaja apabila sehingga hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad masih belum disiasat, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Laporan telah dibuat ke atas kedua-duanya oleh Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng 24 September lalu, selepas Ahmad Zahid bersumpah dengan nama Allah (wallahi billahi tallahii), bahawa polis akan menyiasat dalam tempoh 24 jam menggunakan Akta Hasutan terhadap sesiapa sahaja yang menyentuh isu-isu sensitif.

“Amukan (Akta) Hasutan masih berterusan, sehingga hampir setiap hari ada seseorang disiasat atau didakwa di bawah akta itu, seolah-olah rakyat Malaysia tiba-tiba menjadi masyarakat paling kuat ‘menghasut’,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Terbaru, pakar perlembagaan Dr Aziz Bari akan disiasat polis esok berikutan pandangannya dalam isu Menteri Besar Selangor.

“Zahid tidak menunaikan sumpahnya apabila sehingga kini tiada siasatan polis terhadap Mahathir dan Najib,” katanya lagi.

Lip Eng membuat laporan polis terhadap Dr Mahathir berhubung tuduhannya bahawa Kit Siang bertanding di Gelang Patah pada PRU lalu untuk menghasut orang Cina membenci Melayu.

Manakala laporan terhadap Najib pula tentang ucapannya dalam Perhimpunan Agung Umno 20120, agar mempertahankan ‘kuasa Melayu’ di Putrajaya dengan apa sahaja cara.

Justeru itu, Kit Siang menggesa agar Zahid atau Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk menjelaskan jika polis sudah mengambil keterangan Mahathir dan Najib.

“Bila mereka akan dipanggil?” soal Kit Siang, sambil menjelaskan bahawa beliau tidak menyarankan agar mereka dihukum di bawah Akta Hasutan.

“Namun tindakan pihak berkuasa menjalankan siasatan dan dakwaan terpilih menunjukkan pencabulan dan salah guna melampau untuk menutup kebebasan bersuara, sama ada oleh wakil rakyat Pakatan, aktivis sosial, ahli akademik, wartawan dan juga pemimpin pelajar,” katanya lagi. – Roketkini.com