Berita

Mahkamah benar Akta Hasutan disemak, kemenangan pertama untuk Azmi Sharom

KUALA LUMPUR, 1 OKT – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan pensyarah undang-undang Prof Madya Dr Azmi Sharom mencabar kedudukan Akta Hasutan 1948 menurut Perlembagaan di Mahkamah Tinggi dan menangguhkan pendengaran kesnya ke 7 November.

Dalam permohonannya 17 September lalu, peguam Gobind Singh Deo berhujah bahawa Akta Hasutan 1948 digubal sebelum merdeka dan justeru itu bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Mahkamah Sesyen Zanol Rashid Hussain membenarkan permohonan dan memutuskan bahawa wujud persoalan keperlembagaan yang perlu diselesaikan.

“Perkara 10(2) Perlembagaan jelas menyatakan bahawa hanya Parlimen boleh mengenakan sekatan ke atas hak-hak di bawah Perkara 10, bermakna akta terbabit ternyata tidak mengikut Perlembagaan,” kata Gobind dalam kenyataan sebelum ini.

“Ini adalah kali pertama, untuk pengetahuan saya, permohonan dipindahkan dengan memakai alasan ini, untuk mengisytiharkan Seksyen 4 Akta Hasutan bercanggah dengan perlembagaan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Puchong.

Akta Hasutan 1948 pertama kali digazet sebagai Ordinan Hasutan 1948, ketika Persekutuan Tanah Melayu masih belum merdeka.

Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan secara jelas bahawa Parlimen boleh mengenakan undang-undang menyekat kebebasan bersuara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10.

Hujahan peguam menekankan bahawa parlimen tidak menggubal undang-undang tersebut yang telah pun wujud pada tahun 1948, ketika Parlimen Malaysia belum ditubuhkan.

Azmi didakwa kerana menulis artikel yang didakwa berunsur hasutan dalam The Malay Mail Online bertajuk ‘Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told’.

Jika sabit kesalahan, beliau akan menghadapi hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali. – Roketkini.com