Berita

Paling berisiko di jalanraya, kerajaan abai keselamatan penunggang motosikal

IPOH, 1 OKT: Purata 12 nahas jalanraya melibatkan penunggang motorsikal setiap hari bukti kerajaan gagal dalam kempen mengurangkan kadar kemalangan, kata Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar.

Sivakumar memetik statistik Polis Diraja Malaysia yang mendapati bahawa purata kes kemalangan melibatkan motosikal di negara ini adalah sekitar 120,000 kes setahun, meningkat dari 111,819 pada tahun 2008 kepada 130,080 kes pada tahun 2012.

“Berdasarkan statistik, jumlah kemalangan motorsikal dan kemalangan maut motorsikal merupakan satu masalah serius yang dihadapi pengguna jalanraya. Boleh dikatakan bahawa setiap hari (berlaku kemalangan).

“Purata kemalangan maut melibatkan penunggang dan pembonceng adalah lebih kurang 4,200 orang setiap tahun. Jumlah ini kira-kira 60% daripada jumlah kemalangan maut bagi semua kategori kenderaan.

“Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini dalam tempoh lima tahun yang lepas?” kata Sivakumar dalam satu kenyataan.

Menurutnya, dalam tempoh lima tahun tahun dari 2008 hingga 2012, berlaku peningkatan sebanyak 16.3% dalam jumlah kemalangan yang melibatkan motorsikal.

Manakala kes kemalangan maut melibatkan penunggang motorsikal meningkat dari 3,963 kes pada tahun 2008 kepada 4,780 kes pada 2012 dengan peningkatan 20.6% bagi tempoh lima tahun.

Selangor merupakan negeri terbanyak mengalami kemalangan maut motorsikal iaitu sebanyak 802 orang pada tahun 2012, manakala Johor (654 orang) diikuti Perak (642).

Justeru itu, Sivakumar menggesa kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kerjaraya dan Kementerian Dalam Negeri merangka strategi yang cekap dan berkesan dalam mengatasi masalah ini dalam tempoh terdekat.

“Saya bercadang untuk membangkitkan isu ini dalam Persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula pada 7 Oktober 2014.

“Kita tidak boleh membiarkan nyawa rakyat Malaysia terkorban secara sia-sia,” kata Sivakumar. – Roketkini.com