Berita

Petrol RON95 dan diesel naik 20 sen, pengguna laman sosial kecam tindakan kerajaan

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Tindakan kerajaan menaikkan harga minyak petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuatkuasa tengah malam ini mendapat kecaman rakyat Malaysia dan diluahkan di laman media sosial Facebook dan Twitter.

Rata-ratanya marah dan berterusan mengkritik tindakan kerajaan menaikkan harga petrol melalui pengumaman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) jam 6.15 petang tadi.

“Tragedi Oktober, minyak naik harga,” tulis Young Syefura, anggota DAP di laman facebooknya, menggunakan tajuk lagu kumpulan rock Wings untuk menggambarkan kekesalannya terhadap keputusan kerajaan.

Sementara itu di laman Facebook, Farid Abdillah, meramalkan kenyataan balas kerajaan terhadap reaksi orang ramai dengan perbandingan bahawa harga minyak di Malaysia masih rendah di luar negara.

“Harga minyak kita masih rendah jika dibandingkan dengan harga minyak di Sweden, Denmark dan Finland. Syukurlah Malaysia masih aman,” tulisnya.

Azhar Mardin, seorang pesara tentera menulis di laman Facebooknya, “Minyak naik tak apa, nanti kerajaan beri BR1M. Kerajaan tidak akan bebankan rakyat, kerajaan naikkan minyak untuk negara bersaing dengan negara maju,” tulisnya.

Namun, ada di kalangan pengguna laman media sosial yang menyokong tindakan kerajaan tersebut.

Antaranya pemilik akaun twitter @Fred9Fareed menulis; “Aku lebih rela jadi miskin bayar harga minyak dari melihat negara aku diperintah manusia bernama Anwar Ibrahim.

Manakala pemilik akaun twitter @erk888 menulis; “Celaka betul minyak time macam ni naik. Mengganggu momentum kutukan terhadap PKR.

KPDNKK mengumumkan harga petrol RON95 akan dijual pada harga RM2.30 seliter dan diesel pula RM2.20 mulai 12.01 tengah malam ini,

Kali terakhir kenaikan harga minyak RON 95 adalah pada 2 September 2013 iaitu sebanyak 20 sen dari RM1.90 kepada RM2.10, manakala diesel dari RM1.80 kepada RM2.20. – Roketkini.com