Berita

Benarkan guna keputusan percubaan SPM mohon masuk pra-universiti

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Kementerian Pelajaran wajar meneruskan amalan menggunakan keputusan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi pelajar yang memohon kemasukan ke peringkat pra-universiti dan program asasi, kata Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming.

Katanya, sekiranya kementerian meragui ketepatan dan kualiti keputusan peperiksaan percubaan SPM, ia boleh diubah dengan menggunakan keputusan rasmi oleh Kementerian Pelajaran.

“Pendaftaran pelajar ini hanya boleh disahkan selepas keputusan SPM sebenar mereka dikeluarkan, yang merupakan amalan sekarang.

“Kemasukan awal ke program berdasarkan keputusan percubaan, tetapi pendaftaran adalah berdasarkan pencapaian pelajar menerusi tawaran bersyarat kolej masing-masing bagi keputusan SPM sebenar mereka.

“Jika pelajar gagal mencapai keputusan ini, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan program,” kata Kian MIng dalam satu kenyataan.

Statistik Persatuan Kolej dan Universiti Swasta Malaysia (MACPU) menyatakan,, kadar pelajar yang tidak memenuhi syarat minima SPM adalah kurang satu peratus, manakala beberapa sekolah dilaporkan pada kadar sifar peratus.

Syarat minima ditetapkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk memasuki pra-universiti dan program asasi di kolej swasta adalah lima kredit bagi mana-mana matapelajaran SPM

“Kemungkinan seseorang yang mendapat lima kredit SPM dalam peperiksaan percubaan tetapi gagal mencapai standard keputusan SPM sebenar adalah sangat rendah, seperti mana ditunjukkan oleh statistik MACPU,” kata Kian Ming.

Menteri Pelajaran II Datuk Seri Idris Jusoh dipetik sebagai berkata, larangan terhadap pelajar SPM menggunakan keputusan percubaan untuk mendaftar ke kolej swasta ‘bukan perkara baru’.

Sedangkan dalam satu kenyataan lain dikeluarkan 29 September lalu, Kementerian Pelajaran berkata bahawa keputusan percubaan SPM ‘tidak boleh lagi digunakan’ adalah tidak tepat, kerana hanya keputusan SPM sebenar diperlukan untuk mengikuti kursus matrikulasi, pra-universiti dan diploma yang diluluskan Kementerian.

Tambah Kian Ming, Kementerian Pelajaran dilaporkan menyatakan bahawa ia lebih mementingkan kualiti perkhidmatan ditawarkan institusi dan peraturan yang mematuhi ‘amalan terbaik’ MQA.

Justeru, jika kementerian merasakan penggunaan keputusan percubaan SPM untuk memasuki pra-universiti dan program asasi tidak konsisten dengan ‘amalan terbaik’ MQA, peratusan dan bilangan pelajar memasuki program pra-universiti dan kemudiannya tidak memenuhi syarat minima perlu didedahkan.

“Lagipun, keputusan percubaan SPM ditetapkan Kementerian Pelajaran, dan kementerian boleh meminta kolej swasta untuk mengesahkan keputusan peperiksaan percubaan SPM secara dalam talian,” ujar Kian Ming. – Roketkini.com