Berita

Dr Chen Man Hin bukan ‘Father Augustus Chen’

KUALA LUMPUR. 3 OKT – Penasihat DAP Dr Chen Man Hin dalam keterangannya kepada mahkamah hari ini menafikan beliau adalah individu di sebalik karakter ‘Father Augustus Chen’ sepertimana difitnah akhbar Utusan Malaysia.

Dalam pendengaran yang tidak sampai setengah jam itu, Dr Chen menafikan beliau adalah watak di sebalik penulis risalah ‘Laporan Ekuiti’ yang mendakwa Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang memanipulasi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC).

26 September lalu, wartawan Utusan Malaysia Kasthuri K Manimaran mengakui tulisannya yang bersumberkan risalah ‘Laporan Ekuiti’ terbabit bertujuan memburukkan Kit Siang.

Kasthuri turut mengakui bahawa beliau tidak mengenali, apatah lagi pasti akan kewujudan identiti ‘Father Augustus Chen’.

“Hanya melalui temubual dengan beberapa bekas ahli DAP. Khabar angin mengatakan beliau mungkin Penasihat seumur hidup DAP Dr Chen Man Him,” kata Kasthuri kepada mahkamah.

Berikutan keterangan tersebut, Dr Chen hari ini menafikan dakwaan terbabit dalam perbicaraan saman fitnah berkaitan artikel bertajuk ‘Kit Siang manipulasi CEC?’ oleh Mingguan Malaysia pada 18 Ogos 2013.

Antara tuduhan dilemparkan adalah berhubung sejumlah 753 perwakilan tidak dimaklumkan tentang Kongres DAP, serta kewujudan 547 pengundi hantu dari Pulau Pinang.

Mahkamah dijadualkan membuat keputusan pada 10 Disember nanti. – Roketkini.com