Berita

Kerajaan perlu henti dasar ‘tidak peduli ranking’ universiti dunia

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Kementerian Pendidikan dan kerajaan harus menilai semula dasar ‘tidak peduli ranking’ universiti dunia seperti yang ditunjukkan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Beliau berkata, ini bagi menunjukkan negara sentiasa serius dalam usaha mengembalikan reputasi antarabangsa dan kecemerlangan akademik universiti Malaysia.

Beliau mengulas kenyataan Naib Cancelor UM Profesor Datuk Dr Mohd Amin Jamaludin bahawa universiti itu tidak menyertai kajian Times Higher Education (THE) berhubung universiti terbaik dunia kerana universiti itu tidak memiliki kemampuan kewangan yang cukup untuk bersaing dengan universiti lain yang lebih kaya dan tua.

“Kecuali jika ada sebab munasabah yang mana harus dinyatakan kepada awam.

“Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memastikan UM dan UKM menyertai kajian itu pada masa akan datang,” katanya sambil menyifatkan alasan itu tidak memadai.

Beliau memberi contoh beberapa universiti yang ditubuhkan lebih lewat daripada UM, namun mampu bersaing dan mencatat kedudukan yang baik dalam kajian itu.

Antaranya adalah Pohang University of Science and Technology (Postech) pada tangga ke-66 (ditubuhkan 1986), Hong Kong University of Science and Technology di tangga ke-51 (ditubuhkan 1991) dan City University of Hong Kong pada tangga ke-192 (ditubuhkan 1984)

Beliau juga mempersoalkan kebisuan kerajaan dan media di kawalan mereka di saat negara lain sibuk membincangkan laporan itu.

“Amat pelik dan tidak normal. Di setiap negara yang sedar dengan kepentingan pendidikan, laporan THE 2014 menguasai ruang awam dan perdebatan, sama ada meraikan kejayaan atau pun mengkritik prestasi yang menurun.

“Namun, Muhyiddin dan pemimpin BN lain bersama-sama media kawalan mereka kekal membisu, dan buat-buat tidak tahu,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi.

Katanya lagi, suasana itu ternyata berbeza berbanding pada tahun 2005, ketika UM meraikan kejayaannya mendapat tempat ke-169 dalam senarai universiti terbaik THE pada tahun itu.

Dalam tempoh lima tahun Muhyiddin menjadi Menteri Pendidikan, tiada satu pun universiti tempatan yang berjaya tersenarai dalam kedudukan 200 universiti terbaik dunia THE. – Roketkini.com