Berita

DAP Sabah sumbang RM33,000 bina jalan, hubungkan enam kampung

KOTA KINABALU, 5 OKT: DAP Sabah melalui projek Impian Malaysia menyumbangkan RM33,000 bagi projek Jalan Pitas Fasa 1 sepanjang 3.8 kilometer yang menghubungkan enam buah kampung dekat Pitas.

ADUN Likas merangkap Setiausaha Organisasi DAP Sabah Junz Wong berkata, walaupun kerajaan Barisan Nasional berulangkali berjanji untuk membina jalan raya sejak 1999, namun permintaan penduduk kampung diabaikan.

“Penduduk kampung bergantung kepada pengangkutan sungai melalui Sungai Bengkoka yang semakin cetek. Perjalanan sungai sepanjang 12 kilometer mungkin mengambil masa lebih daripada dua jam.

“Dengan siapnya fasa pertama projek ini, penduduk kampung tidak perlu bergantung kepada sungai untuk perjalanan. Mereka kini boleh menjual hasil tanaman mereka dengan mudah, manakala kanak-kanak boleh ke sekolah,” kata Wong dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian dalam majlis dialog dan penyerahan cek bantuan Kg Dowokon di Pitas semalam yang turut dihadiri Penolong Setiausaha Organisasi DAP Sabah Henry Shim dan Setiausaha Publisiti DAPSY Sabah Phoong Jin Zhe.

Terdahulu menurut Wong, tinjauan pasukan Impian Sabah pada 28 Ogos lalu mengenalpasti kesukaran akses ke bandar dihadapi penduduk di enam buah kampung antaranya di Kampung Mandamai, Kobon Seberang, Perupok, Maliau Pusat dan Maliau Layung.

Ketiadaan jalan raya menyukarkan kira-kira 3,000 penduduk kampung dari keturunan Dusun mendiami kawasan ini yang bergantung kepada pengangkutan air.

Tambah Wong. meskipun projek Jalan Pitas Fasa 1 akan disiapkan dalam tempoh terdekat, aakses jalan raya masih lagi bergantung kepada keadaan cuaca.

“Jika hujan lebat, keadaan jalan terlalu berbahaya walaupun untuk kenderaan pacuan empat roda,” kata Wong sambil menyeru rakyat Malaysia di seluruh negara menggerakkan usaha besar yang dimulakan.

Kata Wong, rakyat Sabah secara amnya dan penduduk kampung di Pitas secara khususnya telah terlalu lama diabaikan, sedangkan rakyat negeri ini wajar menerima limpahan kekayaan berikutan Sabah adalah antara yang terkaya di Malaysia.

Justeru itu, beliau menyeru rakyat Malaysia yang terpanggil dan bersimpati dengan nasib penduduk di Sabah dan Sarawak untuk turut bersama menyumbang kepada projek Impian Malaysia melalui akaun Impian Malaysia (Maybank – 5141 7814 5866).

Projek Impian Sabah dan Sarawak merupakan inisiatif DAP untuk menyediakan infrastruktur asas, pendidikan dan projek ekonomi di kawasan-kawasan luar bandar di Malaysia Timur.

Semenjak Oktober 2013, hampir 30 projek disiapkan termasuk projek air graviti di Kg Samparita Laut, Kota Marudu dan Kg Pangi, Tenom.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai Projek Jalan Pitas, sila hubungi [email protected].