Berita

Adun Mentakab mohon sumbangan bantu anak yatim hidap penyakit misteri

Tengku Zulpuri (tengah) bersama Nik Nursyazwana Shamsudin (kiri) dan ahli keluarganya

TEMERLOH, 7 OKT: Ekoran malu dengan penyakit misteri yang menimpa sejak Januari lalu, anak yatim Nik Nursyazwana Shamsudin, 15 terpaksa menghentikan pelajarannya.

Lebih menghibakan, beliau bersama ibu dan tiga beradiknya yang lain bergantung harap kepada abang sulung berusia 19 tahun yang mengambil upah kerja kampung, selain menerima bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji melawat rumah keluarga Nursyazwana di Kampung Loyang, Sanggang di sini 2 Oktober lalu untuk memberikan sedikit sumbangan.

“Menurut adik Wana, pemeriksaan di hospital gagal mengesan penyakit khusus, cuma mengesyaki akibat lebihan kandungan besi dalam badan.

“Beliau kini tidak bersekolah kerana malu dengan keadaan yang menimpa,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Justeru, beliau memohon agar rakyat Malaysia dapat menghulurkan bantuan.

“Emak beliau tidak bekerja, hanya bergantung kepada bantuan RM300 sebulan daripada JKM serta belas ehsan orang kampung.

“Semoga bantuan anda dapat mengurangkan beban mereka sekeluarga” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Mentakab itu lagi.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi nombor akaun BSN 06113-29-00010657-6 (Nek Zainab Binti Raja Daraman) atau hubungi keluarganya di talian 0111-4897669. – Roketkini.com