Berita

Kerajaan diminta jelas penangguhan hantar tertuduh kes seksual ke New Zealand

KUALA LUMPUR, 7 OKT: DAP menggesa kerajaan menjelaskan penangguhan penghantaran diplomat Malaysia Muhammad Rizalman Ismail ke New Zealand bagi menghadapi pertuduhan seksual terhadapnya.

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata, hubungan diplomatik antara kedua-dua negara boleh terjejas setelah lima bulan Rizalman masih belum dihantar.

“Sudah lima bulan sejak insiden berlaku, tapi sehingga kini masih tidak ada jalan penyelesaian. Ini memberikan imej buruk kepada negara.

“Ini memberikan isyarat yang tidak betul dan menunjukkan bahawa kerajaan tidak mampu menunaikan janji atau sememangnya sengaja melengah-lengahkannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Biro Parlimen DAP itu turut mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi penjelasan tentang penangguhan tersebut.

“Najib mesti jelaskan mengapa penghantaran ditangguh sebegitu lama. Dia perlu memberitahu rakyat apa yang berlaku sepanjang lima bulan lalu dan adakah pentadbirannya masih menghormati janji menghantar Rizalman pulang ke New Zealand.

“Perkara ini penting untuk semua pihak terutama bagi memastikan keadilan kepada pengadu dan tertuduh,” ujarnya.

Rizalman berdepan pendakwaan melakukan serangan seksual ke atas warganegara New Zealand Tania Billingsley, 21, di kediamannya Mei lalu.

Rizalman pulang ke Malaysia menggunakan kekebalan diplomatik walaupun ditahan atas cubaan merompak dan merogol dan kemudiannya didakwa di mahkamah pada 10 Mei.

Rizalman sepatutnya dihantar ke negara itu 16 Julai lalu, namun Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkefli Mohd Zin berkata, tarikhnya belum diputuskan kerana keadaan kesihatan mental dan emosinya masih dalam pemerhatian.

Penghantaran pulang Rizalman ditangguhkan selepas doktor mengarahkan dua ujian psikologi terhadapnya. -Roketkini.com