Sastera

Kritik, kraf dan kehalusan: Pertanyaan-pertanyaan tentang sastera (Bahagian II)

Kritikan sastera yang bermakna bagi saya adalah sebuah kritikan yang membuka penglihatan baru terhadap sesebuah teks, dan membantu khalayak dalam menanggapi perkara itu, tanpa mengira dari aliran mana ia hadir. Kritikan sastera tidak saharusnya menyudutkan sesebuah teks dan menghadapkannya ke muka dinding untuk menunggu hukuman tembak mati. Pertembungan-pertembungan kritik-teori-idea yang tercetus sebenarnya adalah rahmat yang tak terkira kepada pembaca-pembaca yang kritis.

Ia lebih penting kesannya terhadap penulis – proses pemahaman tentang kepengarangan akan menjadi aktif dan kritikal dan berterusan untuk mencari jalan baru. Yang akan dinilai daripada karangan mereka itu nanti bukan lagi sekadar gaya yang mengelabui di luar – seperti yang biasa tercermin pada laporan penilaian sayembara penulisan di sini misalnya – tetapi teras isi yang dikandung di dalamnya dan bagaimana ia disenyawakan untuk memberi martabat baru kepada kesusasteraan.

Saya juga melihat penggunaan kata seperti ‘sastera’ atau ‘seni’ dengan penuh sangsi. Setidak-tidaknya terhadap pemisahan yang sudah berjaya dilakukan oleh pelaku-pelakunya waktu ini. Maksud saya, jika disebutkan kata ‘sastera’, perkara pertama yang saya rasakan ialah sebuah jarak. Jarak daripada jurucakapnya, jarak daripada hasil kerjanya, serta jarak daripada untuk terus mendekatinya, walaupun sudah berusaha keras.

Ia sudah menjadi sesuatu yang bukan lagi merangkum, atau dalam istilah Inggeris disebut inclusive, sebaliknya menjadi sesuatu yang begitu terasing, tersudut dan terpencil. Hal yang terpancar daripada perkembangan ini seolah-olah ingin mencadangkan bahawa ‘sastera’ hanyalah urusan segelintir orang terpilih, dan kononnya orang biasa tak lagi mampu memahami atau merasai getus kesusasteraan di dalam nadi mereka, seperti mereka ini terpisah terus daripada kesusasteraan itu sendiri.

Ini adalah sebuah kenyataan untuk kita depani hari ini, bukan lagi sebuah mimpi buruk. Dan ini juga merupakan sebuah ironi yang begitu aneh dan melucukan. Satu daripada perbincangan tentang sastera yang pernah berlangsung pasca-merdeka dahulu dengan bahang yang dapat dirasakan oleh banyak golongan dalam lanskap kepengarangan bahasa Melayu di Malaysia waktu itu adalah pertembungan pandangan antara kolompok-kelompok yang mengangkat ‘seni untuk masyarakat’ dan ‘seni untuk seni’.

Sekarang ini, seolah-olah garisnya sudah menipis dan kedua-duanya sudah jadi tak tentu arah. Jika dua jalur ini sudah tidak relevan, ke mana pula jalannya sastera selepas ini? Saya tinggalkan soalan ini untuk difikirkan. Walaupun banyak kertas kerja tentang menetapkan hala tuju yang selalu dibentangkan – yang tidak saya tahu apa isi kandungannya – saya hanya terfikirkan satu perkara, iaitu ketika muncul keghairahan untuk menentukan hala tuju itu, adakah ‘penggubal dasar sastera’ ini sedar dan cukup arif tentang keadaan semasa dan di persimpangan mana kita berada sekarang, dalam sebuah rangkuman pemahaman yang menyeluruh dan bukan sekadar mengambil kira kepentingan kelompok sendiri semata-mata?

Literatures are complex realities1. Pernyataan ini bukan merujuk kepada aliran apa yang sepatutnya terkandung dan membentuk sebuah kerja sastera, misalnya realisme atau apa saja jalur teori yang ingin dianuti, tetapi sebaliknya ia merupakan sebuah pernyataan untuk melihat dan menilai perhubungan dan rangkaian di dalam lingkungan yang terkesan oleh kesusasteraan yang berlaku di luar teks, bagaimana suasana yang melahirkan, menggerakkan atau mematikan sebuah kitaran kesusasteraan; sebuah kitaran menyeluruh kritikan sastera, bukan lagi hanya sekadar tertumpu kepada pengarang dan teks semata-mata.

Dalam latar perkembangan di Malaysia – saya fikir ini adalah satu keperluan yang memuncak dan kritik sastera, di dalam maksudnya yang lebih meluas dan merangkum- perlu hadir untuk mengimbangi ketempangan di ruang yang lebih besar. Yang dimaksudkan ialah eco-system yang terlibat dalam kerja-kerja kesusasteraan secara langsung, iaitu dasar dan pengedaran penerbitan, keberkesanan fungsi sesebuah institusi, politik kesusasteraan, jangkaan khalayak pembaca, matlamat-matlamat kepengarangan, kepura-puraan penulis (walau dengan imej apa sekali pun mereka tampil), keupayaan dan kecenderungan panel penilai sayembara atau hadiah sastera dan sebagainya.

Ini yang dimaksudkan sebagai satu kitaran yang saling berkait ketika ingin menilai kelangsungan kesusasteraan. Sudah tentu, dengan mempersoalkan semua perkara ini bukanlah tujuan utamanya untuk mencari penyelesaian segera, tetapi sebaliknya untuk mencampakkan sastera dan semua rangkaian yang disebutkan tadi ke dalam satu kegiatan penilaian dan pemahaman yang berterusan – sebuah proses panjang yang akan melatih penggiat-penggiatnya bersiap untuk berusaha mencari penyelesaian yang diinginkan. Dan ini bukan kerja satu-dua malam. Usaha ini menuntut masa yang panjang, dan akan terus berlangsung sehingga waktu berhenti berdetik. Yang membezakannya, itulah cabaran yang didepani, yang berbeza-beza, dalam rentang waktu yang berlainan.

Jadi, apa itu sastera? Bagi saya, sastera adalah sebuah ruang untuk berlangsungnya segala macam kemungkinan. Ia bukanlah sebuah ruang yang dipaksa untuk berperanan sebagai penentu. Jika sekadar mampu menulis karangan, itu bukan sastera. Jika puisi atau cerpen tersiar di akhbar, ataupun buku dipersetujui untuk diterbitkan oleh penerbit, itu sama sekali belum menjadikannya sebahagian daripada sastera. Kalau sekadar mengambil bentuk-bentuk yang selalu dicanangkan sebagai sebatian kepada ‘sastera’, misalnya ‘novel’, ‘puisi’ dan ‘cerpen’ sebagai contoh, dan cuma itulah pemahaman kita tentang sastera, maka saya fikir kita harus bersedih.

Untuk tidak disalah tafsir, saya percaya kesusasteraan itu juga tidak hanya milik mana-mana kelompok, baik kelompok yang selalu dirujuk sebagai arus perdana ataupun indie. (Saya tak gemar untuk menggunakan dua istilah ini melainkan untuk tujuan memperjelas latar perbincangan, kerana ia menjadi sebahgian daripada perihal ‘jarak’ yang disentuh sebelum ini). Penulis tidak berhak untuk menentukan kerja dan dirinya itu tergolong dalam kantung sastera, tetapi sasteralah yang sebaliknya akan memilih siapa yang ingin ia rangkul dan diberi izin untuk menghuninya.

Bagaimana untuk mengetahui hal ini? Hanya masa yang akan memberi jawapan kepadanya. Kerja penulisan yang mempunyai tingkat kesedaran dan ketelitian tinggi, baik dari segi bahasa, imaginasi, idea dan kejujuran akan sentiasa ada yang mencarinya, walaupun dari rentang waktu yang lain untuk terus diingati. Yang berhak ke atas sastera tidak akan mengetahuinya langsung, dan itu kemungkinan yang paling baik yang boleh berlaku ke atas seseorang yang ada cita-cita, walaupun yang paling halus, untuk bergomol dengan kraf dan kesenian mengarang.

Sastera, sebagai satu cabang seni tentulah ingin mendekatkan dirinya kepada satu tingkat kerja kraf yang penuh dengan kehalusan. Bentuk tidak menjadi hal sama sekali. Tetapi, yang mampu menjadikan atau membunuh sastera adalah keseimbangan dan keupayaan untuk melakukan pekerjaan itu dengan ketelitian yang sudah pasti melelahkan.

Keseimbangan di antara imaginasi liar dan latar kenyataan di dunia, keseimbangan terhadap kefahaman tertib berbahasa dalam usaha untuk menyampaikan maksud (apa yang kita boleh harapkan daripada penulis yang tak mampu faham tentang ini, atau penulis yang terlalu kaku di hadapan bahasa atau yang gemar mencabut maksud daripada bahasa?) dan juga keseimbangan antara luahan perasaan yang dangkal dengan permenungan-permenungan mendalam tentang idea atau pokok perbicaraan dalam apa pun bentuk penulisan sastera.

Keperluan terhadap kraf – sekali lagi saya rujuk di sini sebagai kerja tangan yang diusahakan dengan penuh kesabaran, kehalusan dan keseimbangan – dalam mana-mana karangan yang mahu dianggap sastera tidak akan mampu dinafikan dengan cara apa pun. Di sebabkan itu, sepucuk surat saja boleh sampai ke tahap itu. Di ruang paling peribadi misalnya, sebuah tulisan yang kalau pun masih belum diterbitkan, tetapi digarap dengan kesedaran dan kewajaran tentang perihal bahasa dan daya permenungan yang mendalam, akan tetap tersimpan di daerah sastera, walaupun masih belum bertemu dengan khalayak pembacanya. Ini sebabnya mengapa jurnal peribadi, sebagai contoh, kadang-kala menjadi begitu berpengaruh sebagai sebuah teks sastera setelah diterbitkan.

Semua perkara yang disentuh secara ringkas ini akan menjadi persoalan yang sama akan terkesan ketika membincangan mana-mana hasil kerja seni yang lain selain sastera. Kita wajib hairan dan sangsi bagaimana kerja-kerja penulisan yang dangkal dan menyedihkan gaya dan mutunya diangkat menjulang, apa lagi jika ia dilakukan oleh kelompok yang menganggap diri mereka sebagai penjaga gerbang kesusasteraan.

Begitu juga, kita akan menjadi begitu kebas dengan dakwaan-dakwaan penulis yang menyatakan, misalnya ketika menulis puisi, menjadikan luahan perasaan sebagai alasan utama mengapa mereka menulis. Paling menghampakan, tak ada lagi tingkat lain yang mampu mereka jelaskan tentang penulisan sendiri itu.

Untuk saya, tak ada sastera yang dipisah-pisahkan, misalnya dengan cop mohor arus perdana atau indie. Yang ada hanyalah sastera, dalam jelmaannya yang paling asli, terkandung di dalamnya sebuah kraf yang penuh dengan kehalusan dan tertib berbahasa. Imaginasi dan idea di sini adalah pelengkapnya. Sastera dalam maksudnya yang tunggal tidak mengambil jarak.

1. Octavio Paz mengulas tentang perihal ini dengan lebih terperinci di dalam esei A Literature of Convergences, dengan merujuk secara langsung kepada latar sastera di Mexico dan Amerika Latin.

*Hafiz Hamzah, Editor dan pengasas rumah penerbitan Obscura. Esei ini adalah kerangka pandangan yang disampaikan dalam acara Dialog Orang Muda yang berlangsung pada 28 September lalu, dengan tumpuan perbincangan sekitar Kritikan Sastera: Mati atau Lena?

Maklumat lanjut tentang Obscura Malaysia, layari laman blog Obscura Malaysia dan Facebook Obscura Malaysia