IPOH, 7 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diminta untuk membuat kenyataan terbuka sama ada kerajaan akan mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas petrol dalam pembentangan Belanjawan 2015 Jumaat ini.
Ketua Biro Pembangunan Politik dan Ekonomi DAP Perak Chong Zhemin memetik laporan akhbar Singapura ‘Shin Min Daily News’ semalam bahawa Malaysia akan mengumumkan pelaksanaan GST ke atas petrol semasa pembentangan Belanjawan 2015 Jumaat ini.
“Tidak ada perkara yang lebih ironi, apabila rakyat Malaysia terpaksa bergantung kepada akhbar asing untuk mengetahui bahawa GST akan dikenakan ke atas petrol,” kata Chong dalam kenyataannya hari ini.
Menurut Chong, semenjak sebulan lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan berulangkali berkata bahawa kerajaan belum memuktamadkan keputusan untuk mengenakan cukai GST ke atas petrol.
Ahmad Maslan turut menafikan kenyataan lebih awal oleh Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Isa Daud bahawa petrol tidak akan dikecualikan daripada GST.
Sedangkan laman web perbendaharaan negara, www.treasury.gov menyiarkan keratan laporan kenyataan Ahmad Maslan bahawa kerajaan masih belum memutuskan cukai GST ke atas produk petroleum dan perkara itu bergantung kepada jumlah penjimatan daripada rasionalisasi subsidi yang dijalankan kerajaan.
Menurut Ahmad Maslan, sekiranya penjimatan daripada rasionalisasi subsidi cukup besar, kerajaan berkemungkinan memutuskan untuk tidak mengenakan cukai GST ke atas petrol RON95 dan produk petroleum lain.
Namun jika sebaliknya, mungkin cukai GST dikenakan sebanyak enam peratus, namun masih belum diputuskan kerajaan.
Justeru itu menurut Chong, kenyataan itu menggambarkan kebarangkalian cukai GST akan dikenakan ke atas petrol, apatah lagi kenyataan berdolak-dalik Ahli Parlimen Pontian itu ketika ditanya berhubung pendirian kerajaan berhubung isu tersebut sepanjang kempen pilihanraya kecil di Pengkalan Kubor.
“Hanya tiga hari sebelum belanjawan 2015 dibentangkan di Parlimen. Adakah Ahmad Maslan akan berterusan memberitahu rakyat Malaysia bahawa BN masih ragu-ragu membuat keputusan bagi mengenakan GST ke atas petrol?” soal Chong. – Roketkini.com