Berita

Oktoberfest: Jangan sensitifkan hal yang tidak sensitif – Tony Pua

KUALA LUMPUR, 8 OKT: DAP Selangor hari ini meminta semua pihak agar bertenang dan rasional berhubung isu ‘Oktoberfest’, bukannya menjadikan acara itu sebagai sasaran serangan politik mereka.

Pengerusi DAP Selangor Tony Pua menganggap reaksi yang ditunjukkan sesetengah pihak dalam isu ini seperti ‘mensensitifkan isu yang tidak sepatutnya sensitif’.

“Reaksi parti-parti politik mengapi-apikan emosi negatif dan menggalakkan sikap tidak toleransi di kalangan rakyat berbilang kaum. Ini tidak membantu membina negara yang sederhana dan saling menghormati,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, acara itu adalah anjuran pihak swasta yang tidak melibatkan masyarakat Islam, maka tidak melanggar undang-undang dan tidak perlu dilarang.

“Oktoberfest tidak melibatkan orang beragama Islam, ia tidak sepatutnya membangkitkan sebarang perasaan sensitif kepada umat Islam.

“(Malah) Ia telah berlangsung selama lima tahun berturut-turut tanpa sebarang kesan negatif kepada masyarakat Malaysia di mana-mana tempat,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu lagi.

Isu ini mula timbul apabila Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menggesa acara yang berlangsung bermula 24 September hingga 12 Oktober itu dihentikan.

Ahli Parlimen Temerloh Nasruddin Hassan juga menyatakan hal yang sama dan menjelaskan walaupun minuman keras adalah hak masyarakat bukan-Muslim, ia tidak boleh dibuat secara terbuka.

Langkah membatalkan acara itu dibantah Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang berkata, umat Islam tidak berhak menetapkan larangan agamanya kepada bukan-Muslim, dan Islam sendiri menjamin hak mereka.

Ironinya, acara tersebut yang sebelum ini asing kepada masyarakat Islam kini menjadi popular ekoran tindakan Isma yang membesar-besarkan isu itu, kata Khalid lagi dalam laman blognya semalam.

Dalam pada itu, Pua menjelaskan, minuman alkohol sudah menjadi kebiasaan kepada masyarakat bukan-Muslim ketika menyambut hari kebesaran dan perkahwinan.

“Ia bukan kejadian memeranjatkan. Hak ini dilindungi di bawah kuasa undang-undang. ‘Oktoberfest’ tidak patut diserang dengan pelbagai tohmahan yang buruk dan melampau,” katanya lagi. – Roketkini.com