Berita

Serangan samseng Umno: DAP akan bawa ke mahkamah

KUALA LUMPUR, 8 OKT: DAP hari ini mempertimbangkan untuk membawa kes rusuhan Pemuda Umno di Ibu Pejabat parti itu ke mahkamah jika Peguam Negara (AG) Tan Sri Abdul Gani Patail tidak melakukan semakan semula mengenai kejadian tersebut.

Pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai berkata, tindakan lanjut perlu diambil berikutan ugutan para perusuh mahu membakar ibu pejabat DAP dan cuba mencetuskan provokasi perkauman.

“Saya mengutuk jawapan dari Peguam Negara yang memomokkan sistem kehakiman dengan mempertahankan tindakan salah.

“Keputusan ini jelas akan lebih menghakis kepercayaan awam terhadap sistem keadilan negara,” kata Ahli Parlimen Cheras itu dalam sidang media bersama Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming di Lobi Parlimen.

22 Mei lalu, 50 orang samseng Pemuda Umno diketuai Mohd Razlan Muhamad Rafi mengadakan demonstrasi di hadapan Ibu Pejabat DAP di Jalan Pudu kira-kira jam 3 petang.

50 samseng Pemuda Umno itu telah bertindak biadap dengan mencetuskan provokasi perkauman apabila membawa banner bertulis ‘RSN Rayer anak haram!’ dan ‘Melayu Umno bukan barang dagangan! Mampus DAP!’.

Mohd Razlan yang juga Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan turut bertindak melampau apabila menggumpalkan kertas memorandum bantahan dan membalingnya ke muka Ong Kian Ming.

Menurut Kian Ming pula, berdasarkan lampiran jawapan diterima pihaknya, PDRM telah menjalankan siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan telah lengkap dan telah diedarkan ke Pejabat Peguam Negara pada 17 September 2014.

“Malangnya Pejabat Peguam Negara memutuskan kes sebagai No Further Action (NFA),” ujarnya. -Roketkini.com