Berita

Alasan Speaker tolak soalan royalti minyak Sarawak ‘tidak masuk akal’

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen menyifatkan Speaker memberikan alasan ‘tidak masuk akal’ ketika menolak soalannya berhubung royalti minyak di Sarawak di Dewan Rakyat dua hari lalu.

Ia berhubung soalan Parlimen kepada Perdana Menteri, meminta kerajaan menyatakan terma dan syarat Kontrak Kongsi Pengeluaran (Production Sharing Contract, PSC) antara Petronas dan syarikat-syarikat lain yang terlibat, terutama berhubung pengagihan keuntungan daripada minyak dan gas di Sarawak.

Soalan kedua pula tentang sama ada kerajaan benar-benar berniat untuk meningkatkan royalti minyak dan gas kepada kerajaan Sarawak.

Namun, Dewan Rakyat menolak kedua-dua soalan itu atas alasan sub judice, hanya kerana kes antara kerajaan Kelantan dengan Petronas dan kerajaan Persekutuan berhubung isu sama sedang berjalan.

“Soalan saya ditolak atas asas perkara berkaitan sedang dirujuk di mahkamah – kes yang difailkan kerajaan Kelantan terhadap Petronas dan kerajaan Malaysia,” katanya,  seperti dipetik laman The Borneo Post.

“Keputusan itu ternyata tidak boleh diterima kerana soalan saya berhubung peningkatan royalti kepada Sarawak, sedangkan kes tersebut antara Kelantan dan Persekutuan berhubung tuntutan royalti negeri,” katanya lagi.

Tidak berniat naik royalti

Tidak berpuas hati dengan alasan itu, Pengerusi DAP Sarawak itu menyifatkannya sebagai bukti kerajaan sebenarnya tidak berniat menaikkan royalti minyak dan gas, seperti yang dituntut kerajaan negeri itu.

Katanya lagi, ia juga bukanlah kali pertama isu itu dielak di Parlimen.

“Ini petunjuk jelas niat kerajaan Persekutuan untuk menangguh dan mengelak soalan tuntutan kenaikan royalti,” katanya lagi, seperti dipetik.

Pada 6 Mei lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan usul agar kerajaan negeri menuntut kenaikan royalti minyak dan gas daripada 5 peratus kepada 20 peratus, isu yang sekian lama diperjuangkan DAP dan Pakatan di sana.

“Sudah enam bulan berlalu sejak usul bersejarah itu…Namun tiada satu petunjuk pun daripada kerajaan Persekutuan tentangnya. Malah, ia kini tidak dibenarkan untuk dibincang di Parlimen.

“Maka kerajaan Negeri perlu mengambil tindakan yang lebih tegas untuk mendesak kerajaan Persekutuan, bukannya duduk dan tunggu dengan sia-sia,” katanya lagi. – Roketkini.com.