Berita

Dua anak syarikat 1MDB tiada penyata kewangan 2013, cubaan sembunyi sesuatu?

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini mendedahkan, dua anak syarikat utama (subsidiary) 1Malaysia Development Bhd yang menanggung hutang besar sehingga kini belum memfailkan penyata kewangan untuk tahun 2013, yang sepatutnya dibuat September tahun lalu.

Dua anak syarikat utama badan pelaburan kerajaan itu adalah 1MDB Energy (Langat) Sdn Bhd dan 1MDB Real Estate Sdn Bhd.

“Isu ini tidak pernah dibangkitkan sebelum ini. Sehingga hari ini, penyata kewangan dua syarikat ini untuk tahun 2013 belum dihantar (kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, SMM),” kata Tony dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Bagi 1MDB Energy, katanya, kali terakhir syarikat itu memfailkan penyata kewangannya adalah pada 21 September 2012 (untuk tahun itu), walaupun menanggung hutang sejumlah RM2.8 bilion beserta cagaran dengan Affin Investment Bank Bhd.

“Akaun itu penting kerana 1MDB terpaksa mengurangkan RM1.2 bilion daripada aset tenaga yang diperolehinya dengan harga RM10.9 bilion pada tahun sama. Pengurangan besar ini membuktikan lebihan pembayaran (over-payment) dalam proses perolehan aset tersebut,” katanya.

Namun tanpa penyata kewangan itu, katanya lagi, adalah mustahil untuk mengetahui punca kepada pengurangan itu.

Bagi 1MDB Real Estate pula, beliau menjelaskan kali terakhir penyata difailkan adalah pada 28 Desember 2012 (untuk tahun kewangan yang berakhir pada Mac 2012).

“1MDB Real Estate juga menanggung hutang yang besar. Angka terakhir yang diketahui adalah RM5.9 bilion beserta cagaran, dengan Ambank dan Aminvestment Bank Bhd,” katanya.

Katanya lagi, penyata kewangan 2013 1MDB Bhd menyatakan badan itu mendapat untung bersih RM778 juta selepas penilaian semula aset hartanah yang di bawah 1MDB Real Estate – meningkat 77 peratus daripada RM3.5 bilion tahun sebelumnya.

“Bagaimana 1MDB dapat menilai semula nilai hartanah mereka setinggi itu menjadi tumpuan kritikan penganalisis dalam dan luar negara, kerana tanpanya 1MDB akan mencatat kerugian sebesar RM1.85 bilion.

“Namun, tiada cara untuk kita mengetahui rahsia daripada penilaian ‘ajaib itu, kerana 1MDB Real Estate tidak memfailkan penyata kewangan sejak 18 bulan lalu,” katanya lagi.

Sebelum ini, syarikat induk 1MDB Berhad dikritik hebat kerana lewat menghantar penyata kewangan 2013.

Walaupun penyata itu akhirnya dihantar April lalu selepas tertangguh selama 7 bulan, ia tetap mengundang kontroversi kerana badan yang tertubuh daripada gagasan Perdana Menteri itu telah menukar juruaudit – daripada Ernst & Young kepada Deloitte Malaysia.

Mana penjelasan Najib?

Maka, Pengerusi DAP Selangor itu mendesak Datuk Seri Najib Razak menjelaskan perkara itu, yang hanya sebahagian daripada isu yang melanda 1MDB yang kini menanggung hutang berjumlah RM36 bilion.

“Saiz hutang, ditambah dengan kurangnya ketelusan dan tadbir urus yang baik membawa risiko tinggi untuk kehancuran sistem kewangan (financial collapse) bukan sahaja kepada 1MDB, tetapi kepada Malaysia.

“Sudah tiba masa untuk Najib menunaikan janji ‘pengurusan kewangan yang cermat’. Jika tidak, 1MDB akan menjadi ‘bayang gelap’ yang menutup apa sahaja ‘berita baik’ yang bakal diumumkan beliau dalam pembentangan belanjawan nanti,” katanya lagi. – Roketkini.com