Berita

Kerajaan disaran pinda Perlembagaan untuk perkasakan wanita

KUALA LUMPUR, 9 OKT: DAP menggesa kerajaan supaya meminda peruntukan Perlembagaan sedia ada untuk mewujudkan prinsip kesaksamaan gender dan menghentikan diskriminasi terhadap wanita terutama dalam soal kewarganegaraan.

 Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata, pada tahun 2001, Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan telah dipinda bagi menghentikan diskriminasi gender, namun ia tidak cukup untuk membendung masalah itu.

 “Diskriminasi terhadap wanita masih tetap berlaku, sebab itu kajian dan pindaan perlu dilakukan segera.

 “Perkara 15 (1) dan Jadual 2 Perlembagaan Persekutuan perlu disemak dan dipinda untuk memastikan kesaksamaan, sekaligus lebih memperkasakan golongan wanita,” katanya dalam sidang media di Parlimen tadi.

 Perkara 15(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan mana-mana perempuan bersuami yang suaminya seorang warganegara, maka perempuan itu berhak didaftarkan sebagai warganegara.

 Manakala Jadual 2 Perlembagaan pula menyebut setiap orang yang lahir di luar Persekutuan dan bapanya pada masa kelahiran seorang warganegara dibenarkan mendaftar.

 “Tapi, ia langsung tidak menyebut mengenai pasangan asing seorang wanita Malaysia.

 “Saya juga tertanya-tanya, bagaimana pula dengan anak-anak yang dilahirkan di luar negara dan ibunya adalah warganegara Malaysia?” soalnya.

 Dalam jawapan Parlimen kepadanya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan kanak-kanak yang dilahirkan di luar Persekutuan dan semasa kelahiran ibunya merupakan warganegara dan boleh mengemukakan permohonan di bawah Perkara 15 (2).

Tegas Nie Ching, dalam erti kata lain, ia jelas memberikan kelayakan kepada ibu untuk memohon melalui proses sama seperti bapa yang hanya perlu mendaftarkan anak di Suruhanjaya Tinggi.

 “Malaysia telah menandatangani perjanjian rasmi dalam Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) pada tahun 1995.

 “Kerajaan telah terikat untuk mewujudkan prinsip kesaksamaan gender dalam Perlembagaan dan perlu mengambil segala langkah sewajarnya mengubah atau memansuhkan undang-undang sedia ada.

 “Oleh itu, adalah penting bagi kerajaan untuk meminda peruntukan bagi membolehkan matlamatnya benar-benar dicapai,” tegasnya. -Roketkini.com