Berita

Pemimpin Umno kebal Akta Hasutan? Peguam Negara ‘double standard’

KUALA LUMPUR, 8 OKT: DAP menyeru Peguam Negara Tan Sri Gani Patail agar menjelaskan mengapa pemimpin Umno tidak dikenakan pendakwaan di bawah Akta Hasutan walaupun secara terang-terang mengeluarkan kenyataan bersifat menghasut.

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata, amalan pilih kasih (double standard) tersebut jelas sama sekali tidak menghormati prinsip keadilan.

“Semalam Ketua Polis Sepang Mohd Yusoff Awang mempertahankan keputusan untuk tidak menyiasat Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara Mohamad Azli Saad atas dakwaan hasutan berhubung gesaannya supaya dimansuhkan sekolah vernakular.

“Gesaannya juga dikatakan tidak mengandungi unsur-unsur hasutan dan diklasifikasikan sebagai kes sivil. Ini mengarut dan tidak sepatutnya berlaku.

“Jika Ahli Parlimen (Pakatan) boleh diheret dan didakwa atas kesalahan menghasut, mengapa tidak ahli politik Umno?” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Gobind yang juga Ketua Biro Undang-Undang DAP berkata demikian sebagai tindak balas kepada Yusoff yang mempertahankan Azli meskipun rakan komponen BN sendiri, iaitu MCA, menggesa siasatan dibuat.

“Perkara ini sangat serius. Bukankah ini merupakan satu lagi contoh jelas penyalahgunaan budi bicara berhubung penggunaan Akta Hasutan?

“Mengapa akta tersebut hanya digunakan terhadap beberapa orang tertentu saja dan bukannya kepada individu lain yang mengemukakan fakta sama?” tegasnya.

Pada tahun 1982, Ahli Parlimen BN Mark Koding pernah disabitkan kesalahan menghasut berikutan ucapannya di Dewan Rakyat (11 Oktober 1978) yang mempersoalkan dasar kerajaan membenarkan sekolah Cina dan Tamil diteruskan di negara ini.

Mark Koding ketika itu menyokong penutupan sekolah-sekolah Cina dan Tamil serta menyatakan jika perkara tersebut melanggar Perkara 152 Perlembagaan, maka Perlembagaan perlu dipinda. -Roketkini.com