IPOH, 9 OKT: Naib Presiden DAP M Kulasegaran membidas alasan yang diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, bahawa tindakan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang mengancam untuk membakar kitab Bible bahasa Melayu tahun lalu hanyalah untuk ‘mempertahankan kesucian Islam’.
Semalam, Nancy mengeluarkan kenyataan ‘mengarut’ itu untuk mempertahankan keputusan polis untuk tidak mengambil sebarang tindakan kepada Ibrahim di atas provokasi tersebut.
“Jawapan itu sangat mengejutkan.
“Rakyat kini bukan sekadar marah terhadap double standard pihak berkuasa dalam mengambil tindakan, tetapi juga alasan mengarut yang diberikan untuk mempertahankan double standard itu,” katanya dalam satu kenyataan.
“Bagaimana keputusan itu (tidak mengambil tindakan) boleh dijelas atau dipertahankan dengan alasan ‘hanya mempertahankan Islam?’” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, kenyataan Nancy itu sangat berbahaya kerana bakal mengundang lebih banyak tindakan dan kenyataan provokasi pada masa akan datang.
Ibrahim membuat ugutan tersebut pada Januari 2013, berikutan laporan ada individu yang mengedarkan Bible bahasa Melayu kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jelutong, Pulau Pinang.
Dalam jawapan kepada soalan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng, Nancy juga mendakwa tindakan tidak diambil juga kerana ugutan Ibrahim hanya ditujukan kepada pihak yang mengedarkan Bible tersebut.
Mengulas kenyataan itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat itu membandingkannya dengan Adun Seri Delima RSN Rayer, yang didakwa di bawah Akta Hasutan selepas mengeluarkan kenyataan ‘celaka-celaka Umno’.
“Ini hanya membuktikan lagi hakikat yang kita semua tahu – kerajaan sememangnya mengamalkan double standard dalam pendakwaan Akta Hasutan yang zalim itu,” katanya lagi. – Roketkini.com