Berita

Belanjawan 2015 Najib dibayangi kegagalan dan ‘pilih kasih’

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Bajet 2015 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak petang ini akan dibayangi kegagalan, sikap keterlaluan dan ‘pilih kasih’ oleh kerajaan, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

“Pada pembentangan Bajet 2015 petang ini, adakah Najib mengambil perhatian bahawa ikrar ‘kesederhanaan’ yang diulangi buat kali ketiga di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan lalu telah tersasar.

“Apa pula cadangan yang akan beliau berikan untuk menyelamatkan kempen wasatiyyahnya?” kata Kit Siang dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, sepanjang tiga hari perbahasan di Dewan Rakyat, kedangkalan kerajaan jelas terpamer dengan beberapa jawapan Menteri yang sangat tidak munasabah.

Sebagai contoh, jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri kepada soalan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung ugutan Ketua Perkasa Ibrahim Ali untuk membakar Bible bahasa Melayu.

“Jawapan Nancy kepada soalan Guan Eng adalah kenyataan paling keterlaluan dalam tempoh lima tahun pentadbiran Najib,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Nancy pada hari pertama sidang bermula menyatakan, tidak ada tindakan akan diambil terhadap Ibrahim kerana dia ‘hanya mempertahankan kesucian Islam’.’

Kata Nancy, Ibrahim tidak akan didakwa di bawah Akta Hasutan kerana ancaman untuk membakar Bible dengan penggunaan ‘Allah’ sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Sudah tiba masanya Peguam Negara Tan Sri Gani Patail menerangkan bahagian mana dalam Perlembagaan yang memberi perlindungan dan kekebalan kepada Ibrahim untuk mengeluarkan ancaman sedemikian?” soal Kit Siang.

Ujarnya, kerajaan dan Peguam Negara turut gagal dan ‘pilih kasih’ apabila tidak menyiasat Timbalan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara Mohamad Azli Mohamed Saad dan memutuskan ‘tidak ada tindakan lanjut (No Further Action)’ dalam kes ugutan bakar Ibu Pejabat DAP.

“Saya tertanya-tanya mengapa tidak ada hasil dari laporan polis terhadap Najib atas ucapan ‘berkecai tulang, bercerai jasad dari nyawa’ beliau pada Perhimpunan Agung Umno tahun 2010?

“Mengapa siasatan tidak dibuat kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir tentang  amarannya pada PRU ke-13 lalu, kononnya saya bertanding di Gelang Patah untuk mewujudkan ‘konfrontasi kaum’ antara Melayu dan Cina di Johor?

“Bukankah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah bersumpah akan ‘menyiasat dalam tempoh 24 jam’ terhadap apa sahaja laporan hasutan pada 22 September lalu?” soal Kit Siang. – Roketkini.com