Berita

Belanjawan 2015: Najib gagal jawab isu hutang 1MDB

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua kecewa apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak langsung tidak membangkitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam pembentangan Belanjawan 2015 petang tadi.

“Perdana Menteri gagal menyebut isu kritikal ini dalam pembentangannya. 1MDB langsung tidak disebut dalam Belanjawan.

“Ini sangat mengecewakan, memandangkan betapa serius defisit berterusan dan hutang kerajaan yang semakin bertambah,” katanya.

Menjelang pembentangan Belanjawan 2015, Pua sebelum ini mendesak Najib menjelaskan isu yang melanda badan pelaburan milik Kementerian Kewangan itu yang kini menanggung hutang RM36 bilion.

Beliau juga mendedahkan dua anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy (Langat) Sdn Bhd dan 1MDB Real Estate Sdn Bhd. yang gagal memfailkan penyata kewangan bagi tahun 2013, dengan masing-masing menanggung hutang RM2.8 bilion dan RM5.9 bilion.

Pengerusi DAP Selangor itu berkata, perbelanjaan yang tidak disemak dalam kira-kira rasmi kerajaan menyebabkan defisit rasmi belanjawan ‘kelihatan lebih rendah’, namun boleh memberikan kesan serius kepada sistem kewangan negara.

“Kesannya tentu sekali boleh membinasa, ketika ada kejutan dari luar ke atas sistem kewangan negara,” katanya lagi.

Sehingga Jun 2014, hutang ditanggung negara meningkat kepada RM568.9 bilion, daripada RM539.9 bilion pada akhir Disember 2013, iaitu 52.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menghampiri had maksima ditetapkan iaitu 55 peratus.

Walaupun angka itu sendiri sudah cukup membimbangkan, lebih merisaukan adalah hutang yang dijamin kerajaan melalui syarikat milik penuhnya seperti 1MDB, MRT Corp dan Syarikat Prasarana Negara Bhd

“Sepanjang lima tahun pentadbiran Najib, hutang yang dijamin kerajaan meningkat dengan cukup besar, daripada RM84.3 bilion pada tahun 2009 kepada RM157.5 bilion setakat Disember 2013.

“Ini lebih membimbangkan,” kata Pua. – Roketkini.com