Rencana

Belanjawan 2015: Pertumbuhan bukan pengagihan

Pakatan Rakyat membentangkan Belanjawan alternatif semalam, yang menumpukan kepada 4 nilai; antaranya gaji yang adil dan subsidi untuk golongan pendapatan rendah

Tahun lepas, di Parlimen, Yang Berhormat Menteri Ekonomi Abdul Wahid Omar berkata bahawa negara kita mempunyai guna tenaga penuh (frasa teknikal yang lebih kurang membawa maksud “semua orang ada kerja”) kerana kadar pengangguran di bawah 4%. Baru-baru ini pula di satu sidang media semasa Global Economy Symposium di Kuala Lumpur, menteri yang sama mengumumkan bahawa rakyat Malaysia sudahpun mempunyai taraf hidup yang lebih baik dengan purata gaji isi rumah mencecah RM5,900 sebulan.

Rakyat Malaysia dapat menilai bahawa walaupun data itu tidak salah sepenuhnya, kenyataan pak menteri langsung tidak menggambarkan situasi sebenar kehidupan rakyat biasa.

Masalah paling besar ialah kerajaan telah keliru antara pertumbuhan ekonomi dan pengagihan kekayaan. Justeru, Belanjawan tiap-tiap tahun, termasuk, jika Perdana Menteri masih tidak sedar, Belanjawan 2015, walaupun dipenuhi berita baik tentang pertumbuhan ekonomi, hanya sekadar business as usual dan  tidak membawa apa-apa manfaat besar kepada rakyat biasa.

Dalam kata lain, “pi mai pi mai tang tu”.

KDNK kaedah pendapatan: Siapa dapat apa?

Mengikut laporan kerajaan, sejak tahun 2005 sehingga 2013, pampasan pekerja merangkumi kira-kira 31% daripada KDNK manakala keuntungan korporat adalah lebih kurang 65% dan pendapatan cukai kerajaan tolak subsidi kira-kira 3%.

Ini bermaksud, secara ringkasnya, untuk setiap RM100, pekerja mendapat RM31, taukeh mendapat RM65 dan kerajaan mendapat RM3, lebih kurang.

Walaupun ada pertumbuhan, namun golongan pekerja masih mendapat bahagian yang kecil daripada kekayaan negara. Tambahan pula, perlu diingatkan bahawa RM31 di atas termasuklah gaji pengarah, elaun, fi, bonus dan komisen kepada pengarah. Ini bermakna jika pengarah bergaji tinggi tidak diambil kira, maka peratusan gaji pekerja bawahan dan pertengahan kepada KDNK adalah lebih kecil lagi.

Bandingkan pampasan pekerja kita kepada negara-negara di rantau ini seperti Singapura (41.1%), Korea (43.7%), Taiwan (46.2%) dan Jepun (51.9%).

KDNK negeri: Taburan pembangunan yang tidak seimbang 

Terdapat perbezaan yang amat ketara dalam tahap pembangunan di setiap negeri di Malaysia. Untuk ini, kita boleh membandingkan KDNK setiap negeri. Walaupun KDNK per kapita Wilayah Persekutuan adalah lebih kurang RM80,000, KDNK per kapita 13 buah negeri lain di Malaysia hanya separuh daripada jumlah tersebut.

Negeri-negeri seperti Kelantan (RM10,677), Kedah (RM16, 316), Perlis (RM18, 519), Sabah (RM18, 603) semuanya mempunyai KNDK per kapita kurang daripada RM20,000.

Ini jelas menunjukkan ketidakseimbangan dalam pengagihan pembangunan di Malaysia yang hanya tertumpu di ibu kota.

Justeru, kita boleh lihat jurang pendapatan adalah begitu besar sekali, contohnya, purata gaji di Putrajaya dan Kuala Lumpur adalah RM3,137 dan RM2,095 masing-masing berbanding purata gaji di Sabah RM1,445, Kelantan RM1,636, Perlis RM1,668, Perak RM1,691, dan Kedah RM1,703. Dalam kata lain, mereka-mereka di Putrajaya gajinya adalah dua kali ganda gaji rakyat di negeri-negeri tersebut.

Pekali Gini: Jurang pendapatan yang lebar 

Satu lagi cara untuk melihat dinamik pertumbuhan ekonomi dan pengagihan ialah melalui Pekali Gini yang mengukur taburan pendapatan rakyat Malaysia di mana ‘0’ mewakili keadaan “kesaksamaan sempurna” (perfect equality) dan ‘1’ mewakili “ketidaksaksamaan sempurna” (perfect inequality).

Mengikut Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni, Pekali Gini Malaysia merupakan salah satu yang tertinggi di rantau ini, dan indeks tersebut terbantut pada kadar lebih kurang 0.4 sejak lewat 1980-an. Pekali Gini Malaysia pada tahun 2009 ialah 0.44 dan mengecil kepada 0.43 pada tahun 2012, satu peningkatan 2.3%. Bandingkan dengan Pekali Gini di Thailand 0.4, Indonesia 0.37, dan India 0.33.

Bandingkan ini pula dengan Pekali Gini di Pulau Pinang 0.42 pada 2009 dan 0.37  pada 2012, satu peningkatan 12%. Antara faktor utama sudah tentu adalah usaha kerajaan negeri Pulau Pinang melaksanakan dasar pengagihan ekonomi di bawah program Agenda Eknonomi Saksama (AES) negeri Pulau Pinang.

50% pekerja bergaji RM2,052, jadi, gaji isi rumah siapa RM5,900?

Walaupun Menteri Ekonomi menyatakan bahawa purata pendapatan rumah tangga sudah mencecah RM5,900, namun setelah saya memberikan analisa saya dalam media tentang kekeliruan mean dan median, Menteri Ekonomi dengan jujur pun memberikan penjelasan bahawa RM5,900 tersebut sememangnya tidak menggambarkan situasi sebenar keadaan rakyat jelata.

Kerajaan pusat sendiri mewar-warkan bahawa program BR1M telah memanfaatkan 80% isi rumah di Malaysia. Dan kita sedia maklum bahawa syarat penerimaan BR1M ialah isi rumah berpendapat kurang daripada RM3,000 sebulan (kini RM4,000 sebulan).

Terbaru, Jabatan Perangkaan melaporkan bahawa purata gaji dan upah bulanan bagi pekerja di Malaysia ialah RM2,052 dengan purata gaji bulanan pekerja wanita masih kurang daripada RM2,000 (RM1,992 berbanding lelaki RM2,082).

Penengah gaji (median) pula ialah RM1,500 sebulan. Ini bermakna, 50% daripada pekerja Malaysia masih mempunyai gaji bulanan kurang daripada RM1,500.  Bagi pekerja lepasan universiti, purata gaji bulanan adalah RM3,400 dan 50% daripada lepasan universiti kita mempunyai gaji kurang daripada RM3,000 sebulan (RM2,940).

Keadaan penggajian ini sekali lagi jelas menggambarkan bahawa pembangunan ekonomi, jika ada sekalipun, tidak memberikan kesan yang besar kepada gaji rakyat secara amnya; pi mai pi mai tang tu.

Belanjawan 2015: Lima perkara asas untuk memandu ke arah pengagihan

Dalam Belanjawan 2015, kerajaan pusat harus berhenti mengambil pendekatan “masuk bakul angkat sendiri” dengan memuji tak henti pencapaian pertumbuhan ekonomi dan sedar segera bahawa pertumbuhan ekonomi tidak bermaksud pengagihan kekayaan. Dasar ekonomi kerajaan patut menjurus ke arah pengagihan sebagai komponen penting pertumbuhan (distribution as an important component of growth).

Pertama sekali, pertumbuhan ekonomi perlu menjana peluang pekerjaan bermutu tinggi. Ini bermakna kerajaan bukan sahaja perlu menggalakkan perlaburan tetapi perlaburan tersebut mestilah mewujudkan peluang pekerjaan nilai tinggi. Ini boleh dilaksanakan dengan menggalakkan industri nilai-tambah yang tinggi (high value-added industry), sama ada dari luar negara ataupun oleh usahawan tempatan.

Negara kita merupakan antara yang terawal mendapat manfaat daripada perkembangan industri perbuatan di rantau ini dengan pembukaan zon industri bebas yang pertama di Malaysia di Pulau Pinang pada tahun 1972.  Sesudah 42 tahun, kerajaan perlu mempergiatkan usaha menggalakkan pemindahan teknologi dari luar serta mendorong pertumbuhan industri teknologi tinggi bernilai tinggi setempat.

Keduanya, sistem pendidikan perlu dikaji semula sepenuhnya. Saya tidak ingin menyentuh panjang lebar bab ini sebab rakan-rakan saya yang lain sudah banyak membincangkan hal ini. Cukup sekadar dua perkara, pertama satu landasan pendidikan dan latihan alternatif perlu diwujudkan selain sistem pendidikan universiti sedia. Landasan ini boleh mengambil model apprenticeship Jerman di mana anak muda lepasan sekolah menengah boleh terus memasuki industri untuk bekerja sambil belajar. Ini bagi mengatasi masalah kurikulum pendidikan tinggi tidak sepadan dengan keperluan industri.

Sudah tiba masanya kita membuka ruang perbincangan matang dalam isu pendidikan awal dan rendah, terutamanya isu pendidikan vernakular dan pendidikan kebangsaan. Kedua-duanya tidak perlu bertentangan dengan satu sama lain. Pendidikan rendah adalah penting sebagai asas kepada perkembangan minda anak-anak kita. Pergolakan pandangan puak ekstremis tentang pendidikan aliran vernakular dan aliran kebangsaan menyebabkan kita terlepas pandang kekuatan kedua-dua aliran tersebut untuk mengukuhkan lagi sistem pendidikan negara kita.

Contoh kekuatan tersebut, semangat integrasi dan perpaduan di sekolah aliran kebangsaan dan kualiti pengajaran sains dan matematik di sekolah aliran vernakular terutamanya SRJKC.

Ketiga, kebergantungan kepada buruh tidak mahir asing perlu dinyah-tagihkan secara beransur-ansur. Kebergantungan kepada buruh tidak mahir asing murah secara langsung mengakibatkan fenomena “perlumbaan ke bawah” – race to the bottom. Malah dengan kemunculan negara-negara serantau yang lain, persaingan untuk industri intensif buruh akan menjadi sengit dan menjadikan masalah “perlumbaan ke bawah” lebih teruk lagi.

Keempat, fokus pembangunan kerajaan pusat, terutamanya penyediaan infrastruktur asas seperti pengangkutan awam, jalur lebar internet dan lain-lain infrastruktur yang akan meningkatkan kualiti hidup rakyat serta menggalakkan pelaburan perlu diperluaskan di luar Lembah Klang dan Kuala Lumpur, terutamanya ke negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak dan negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Akhir sekali, pengenalan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) dalam keadaan ketidakseimbangan seperti ini merupakan songsang kepada prinsip pengagihan. GST bukan mengagihkan kekayaan kepada rakyat, tetapi sebaliknya mengagihkan beban fiskal kepada semua rakyat termasuk kepada yang paling miskin. TIdak dapat dinafikan sistem pencukaian negara perlu dirombak semula.

Prinsip yang patut diambil ialah untuk meningkatkan hasil cukai tanpa membebankan rakyat terutamanya golongan pekerja peringkat rendah dan pertengahan. Ini boleh dilakukan melalui cukai ke atas keuntungan dan bukan ke atas perbelanjaan (tax on gains and not consumptions).  Tetapi, cukai apa sekalipun,  jika masih berlaku penyelewangan dan kebocoran dalam kerajaan. Wang cukai bukan untuk memperkayakan pemimpin dan kroni mereka.

Tanpa usaha yang serius untuk melawan budaya rasuah dan salah guna kuasa dalam rejim Barisan Nasional, maka sampai bila-bila Perdana Menteri akan membentangkan Belanjawan Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

*Steven Sim adalah Ahli Parlimen Bukit Mertajam