Berita

Belanjawan 2015: Tiada usaha banteras kronisme – Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Belanjawan 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak yang kononnya berjiwa rakyat tidak bermakna tanpa sebarang usaha membasmi rasuah dan kronisme.

“Belanjawan yang disebut sebagai pro rakyat ini sungguhpun ada beberapa langkah untuk mengurangkan beban, tapi dari segi perkara pokoknya masih belum ada sebarang usaha yang benar-benar berjiwa rakyat,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Contohnya apakah langkah kerajaan untuk menyelesaikan masalah kronisme yang melibatkan ‘Independent Power Producer (IPP), 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan perkara lain yang dibangkitkan pemimpin Pakatan Rakyat.

“Semua isu ini masih belum dijawab dan ditangani. Sekiranya Najib mahu belanjawannya benar-benar berjiwa rakyat, maka pertalian antara kroni harus diputuskan sama sekali,” katanya ketika ditemui di luar Dewan Rakyat selepas pembentangan Belanjawan 2015

Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan, walaupun masalah rasuah di Malaysia dilaporkan antara terburuk di dunia, sehingga kini masih tidak ada langkah drastik pihak kerajaan untuk membanteras kegiatan tersebut.

Bajet 2015 yang dibentangkan oleh Najib hari ini memperuntukkan sebanyak RM273.9 bilion, peningkatan sebanyak RM9.8 bilion berbanding tahun 2014.

Perbelanjaan mengurus yang dibentangkan hari ini berjumlah RM223.4 bilion, iaitu  81.6% dari keseluruhan peruntukan, manakala perbelanjaan pembangunan hanya 18%, bersamaam RM50.5 bilion.

Bajet 2015 merupakan antara belanjawan tahunan terbesar yang pernah dibentangkan oleh kerajaan dalam sejarah. – Roketkini.com