Berita

Belanjawan PR 2015: Gesa Petronas serah laporan tahunan kepada Parlimen

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Pakatan Rakyat merancang untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian di Parlimen tahun depan, dalam usaha untuk meminda Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan memaksa Petronas menyerahkan laporan tahunannya kepada Dewan Rakyat.

Petronas, syarikat minyak dan gas utama negara buat masa sekarang, menyerahkan laporan tahunan mereka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Rancangan pengumuman itu tersenarai dalam isi kandungan Belanjawan Malaysia 2015 PR setebal 47 muka surat yang telah diluncurkan dalam sesi taklimat di Tingkat 2 Bangunan Parlimen, petang semalam.

Menurut Belanjawan Malaysia 2015 PR, rang undang-undang tersebut akan berusaha meminda peruntukan-peruntukan tertentu dalam Akta Petroleum, termasuk membentuk Jawatankuasa Pilihan Parlimen dari kedua-dua belah pihak yang terdiri daripada ahli dengan kepakaran dalam industri minyak dan gas.

Pindaan tersebut juga akan memaksa Petronas mengemukakan laporan tahunan kewangan dan prestasi kepada Parlimen, manakala proses pelantikan Pengerusi Firma dan Ketua Pegawai Eksekutif disemak serta dibahas di Parlimen.

PR turut mengulangi bahawa dividen Petronas kepada kerajaan perlu dipinda dengan sebahagian keuntungan disimpan ke dalam tabung khas yang hanya boleh digunakan untuk pembangunan sumber manusia, teknologi dan pendidikan.

“Antara lain kandungan dalam rang undang-undang persendirian itu kelak adalah mewajibkan audit tahunan oleh Jabatan Audit Negara ke atas Petronas dan pengurusan-pengurusan tabung khas yang dibiayai daripada hasil minyak serta gas.

“Dividen Petronas kepada kerajaan dihadkan melalui satu formula yang bergantung kepada keuntungan syarikat itu.

“PR berpendapat, langkah-langkah drastik ini diperlukan untuk memaksa pentadbiran Najib memulakan langkah mengurangkan pergantungan kepada hasil minyak dan gas,” Belanjawan Malaysia PR 2015 itu dipetik.

Beberapa media sebelum ini melaporkan, Petronas merupakan pembayar cukai tunggal terbesar di Malaysia yang meliputi 45 peratus daripada bajet kerajaan.

Agensi berita antarabangsa Reuters pada tahun 2012 mendedahkan bahawa Petronas tidak ubah seperti ‘Kantung Peribadi’ kepada pemimpin kerajaan untuk menyelamatkan projek, syarikat kroni dan perusahaan keluarga.

Belanjawan Malaysia Pakatan Rakyat 2015 boleh dimuat turun di http://pakatanrakyat.my. -Roketkini.com