Berita

Kerajaan sembunyi hutang, belanja ‘luar kerangka’ tak masuk dalam belanjawan

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Di sebalik penurunan defisit kepada tiga peratus dalam Belanjawan 2015, kerajaan sebenarnya menyembunyikan jumlah hutang dan perbelanjaan yang amat besar yang tidak dimasukkan dalam belanjawan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, berbanding angka yang dibentangkan, tipu-helah yang berlaku di sebaliknya adalah lebih membimbangkan.

Dalam pembentangannya hari ini, Najib dengan bangga menyatakan penurunan defisit dalam Belanjawan 2015 dari 3.5 kepada 3 peratus, dengan kata lain perbelanjaan kerajaan dijangka menurun dari RM37.7 bilion kepada RM35.2 bilion untuk tahun 2015.

“Angka yang dilihat nampak bagus sebenarnya menutup hakikat bahawa kebanyakan perbelanjaan berkaitan kerajaan dibuat di luar kerangka belanjawan.

“Ini bermakna kerajaan ada ruang untuk memanipulasi perakaunan inovatif (bagi menyembunyikan angka sebenar) untuk terus berbelanja besar dan menghabiskan berbilion ringgit dengan hutang tambahan, tanpa mengubah peratusan defisit dalam belanjawan rasmi,” kata Pua.

Mengulas lanjut beliau berkata, ia dapat dilihat melalui tahap ‘beban bergantung’ (contingent liability) melalui hutang oleh syarikat milik kerajaan.

“Ini merujuk kepada hutang tersembunyi yang tidak termasuk dalam hutang rasmi, tetapi kerajaan bertindak sebagai penjamin kepada hutang tersebut,” katanya.

Tambah Pua, hutang tersebut meningkat dari RM84.3 bilion pada tahun 2009 ketika Najib mula menjadi Perdana Menteri, kepada RM157.5 bilion sehingga Disember 2013.

Bermakna, hutang tersembunyi kerajaan meningkat sebanyak 86.8 peratus sepanjang Najib mula mengetuai pentadbiran negara.

Malah katanya, angka itu dijangka bertambah berikutan pelbagai projek infrastruktur yang dikendalikan syarikat milik kerajaan seperti MRT Corp dan Syarikat Prasarana Negara Bhd.

Tahun lalu, kerajaan menjamin RM6.5 bilion untuk projek pembinaan MRT, yang mencatat peningkatan daripada jangkaannya pada tahun 2012, iaitu RM2.4 bilion.

“Malah ia dijangka akan meningkat tahun ini kerana kos fasa pertama MRT yang masih berlangsung sahaja melebihi RM22 bilion,” kata Pua.

Ujarnya, peningkatan besar dalam ‘beban bergantung’ menunjukkan peratusan defisit dalam belanjawan rasmi jauh berbeza daripada defisit sebenar yang ditanggung.

“Ia juga menunjukkan perwakilan yang salah (under-representation) tentang hutang tersembunyi, kerana kebanyakannya secara tersirat dijamin oleh kerajaan,” katanya lagi.

Kes utama: Hutang 1MDB

Beliau memberikan contoh badan pelaburan kerajaan 1Malaysia Development Berhad, yang kini menanggung hutang terkumpul melebihi RM36 bilion.

“Kerajaan secara rasmi hanya menjamin RM5 bilion daripada jumlah itu. Namun institusi kewangan memahami hakikat bahawa jika berlaku ‘default’ (kegagalan membayar hutang atau faedah mengikut jadual), seluruh jumlah itu akan ditanggung kerajaan, kerana ia milik penuh Kementerian Kewangan.

“Ini sama seperti yang berlaku dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), di mana kerajaan terpaksa ‘bail out’ projek berjumlah RM4.6 bilion itu, walaupun tidak menjadi penjamin rasmi,” kata Pua. – Roketkini.com