KUALA LUMPUR, 10 OKT: Kenyataan Nancy Shukri mempertahankan ugutan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali untuk membakar Bible bahasa Melayu membuktikan beliau adalah menteri undang-undang yang tidak faham undang-undang.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengulas alasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang tidak mengambil tindakan ke atas Presiden Perkasa dengan menyatakan bahawa ugutan tersebut tidak menyalahi Perlembagaan Persekutuan.
“Nancy telah menunjukkan dirinya sebagai seorang peguam yang tidak memahami undang-undang, atau lebih teruk sebagai penyokong Perkasa secara senyap dan klon kepada Ibrahim Ali,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.
Nancy sebelum ini menyatakan bahawa keputusan Pejabat Peguam Negara tidak mendakwa Ibrahim kerana konteks ucapannya selaras dengan semangat Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan agama selain Islam dilarang disebarkan kepada masyarakat Islam.
Mengulas lanjut, Guan Eng yang pernah dipenjara selama 18 bulan selepas didakwa di bawah Akta Hasutan pada 1998 berkata, alasan ‘mempertahankan Islam’ tidak boleh digunakan untuk membela diri daripada akta tersebut.
“Sebagai mangsa Akta Hasutan dan pernah dipenjara selama 18 bulan, (saya tahu) alasan ‘mempertahankan Islam’ tidak wujud dalam undang-undang hasutan dan langsung tidak boleh diterima,” katanya.
“Adakah beliau berpura-pura atau sememangnya jahil undang-undang, sehingga tidak tahu bahawa niat pembuat kenyataan berbau hasutan, serta melakukan sesuatu, bercakap atau menyiarkan kenyataan berbau hasutan adalah satu kesalahan?” soalnya.
Tambah Guan Eng, kenyataan dan alasan bagi mempertahankan Ibrahim menunjukkan betapa akta lapuk itu dan disalahguna untuk menindas penentang BN, bukan lagi untuk menjaga keselamatan negara.
“Inilah double standard BN dan Peguam Negara yang menunjukkan bagaimana undang-undang ini disalahguna.
“Ia menjadi senjata untuk menindas mereka yang melawan BN, namun menjadi pelindung kepada BN daripada sebarang dakwaan,” katanya lagi. – Roketkini.com