Budaya

Tentang sebuah buku politik tanpa gosip konspirasi sensasi

Ada sesuatu yang berlainan tentang buku ini.* Benar, ia merupakan koleksi tulisan Ismail Hashim Yahaya mengenai isu semasa, khususnya pandangan serta hujah beliau tentang politik di Malaysia. Namun, ia berbeza daripada tulisan-tulisan yang seumpamanya.

Apakah perbezaan itu? Yang paling ketara ialah isi dan intipatinya. Ia tidak peduli tentang gosip politik, ia tidak kisah mengenai konspirasi politik; walaupun gosip dan dongeng konspirasi agak popular di kalangan masyarakat yang disekat pencerahan media mereka oleh pemerintah dan penguasa.

Yang membezakan buku ini daripada yang lain-lain dalam angkatannya adalah faktor ilmu dan ilmiah. Ismail Hashim sebagai penulis berkongsi segala apa yang ada pada dirinya sebagai seorang ahli akademik. Tulisan-tulisannya mahu mengajak pembaca keluar seketika dari zon selesa untuk mengasah minda yang selama ini sering dibekukan dengan polemik yang bersifat seperti permainan bola sepak.

Tulisan-tulisan beliau banyak berkisar tentang demokrasi yang dirasakannya agak dangkal dalam amalan seharian di Malaysia. Ketajaman pemerhatian, malah kritikan beliau, banyak ditujukan kepada apa yang disifatkannya sebagai politik citra, yakni yang bersifat imej. Maksudnya bukan demokrasi yang menjadi amalan tetapi sifat-sifat, kata-kata, malah iklan-iklan tentang demokrasi yang menjadi amalan masa kini.

Mungkin bagi sesetengah pembaca seperti saya, tulisan-tulisan Ismail Hashim menjadi satu  pelajaran baru untuk memahami politik semasa. Melalui pengalaman saya sebagai wartawan, walaupun tanpa pengajian yang formal, saya dapat mengutip sedikit sebanyak apa yang beliau cuba sampaikan.

Memang tidak mudah bagi saya untuk mencerna segala-galanya tetapi menarik juga apabila saya sendiri dapat berkenalan dengan, misalnya, chronopolitics, yang dihuraikan oleh Ismail Hashim, melalui definisi pakar semiotika Paul Virilio sebagai “suatu proses perubahan, reformasi, atau transformasi berupa politik waktu atau politik perubahan yang juga meliputi persaingan ekonomi, perlumbaan politik, dinamika sosial, perubahan budaya, pacuan kepengggunaan dan pengutusan waktu dan perlumbaan kemajuan.”

itra

Itu sekadar satu contoh. Dalam buku ini banyak lagi yang beliau paparkan teori-teori yang bukan sekadar kata-kata kabur tetapi sebenarnya memang berpijak di bumi yang nyata. Malah, hampir semua tulisan beliau berpaksikan teori-teori media. Hujah-hujah beliau banyak bersandarkan kepada pandangan-pandangan pasca-moden yang beliau sajikan dengan prinsip kemanusiaan yang saya rasa berpaksikan kepada Islam.

Seperti yang dihujahkannya dalam maksud politik citra atau imej yang menggambarkan apa yang beliau rumuskan sebagai sesuatu yang “dipertontonkan di panggung media”, Ismail Hashim mahu kita melihat dengan lebih mendalam kerana segala-galanya yang dilihat itu cuma bayangan semata-mata.

Namun, Ismail Hashim tidak mahu menjebakkan dirinya dalam kancah politik kepartian. Sebagai seorang akademik, sebagai seorang wakil dunia intelek, sebagai pemerhati politik, nampaknya beliau lebih mahukan kepada pencerahan minda. Seperti yang dicatatkannya sendiri, “…identiti kaum intelektual ialah untuk melakukan transformasi pemikiran kepada negara dan masyarakat.”

Melalui tafsiran Ismail Hashim, satu daripada jenis-jenis manusia akademik yang disenangi beliau adalah daripada jenis demokrasi yang digambarkannya sebagai mampu “membuka diri terhadap segala bentuk kreativiti” di mana “(L)embaga pendidikan menjadi ‘fasilitator’ bagi tersemainya benih-benih pemikiran kreatif, kerja yang sangat menghargai kemampuan individual, namun pada sisi yang lain sangat menghormati peraturan bersama.”

Di sini jelas apa yang beliau harapkan adalah jenis akademik, atau jika benar wujud di negara ini, intelektual “yang mampu melahirkan sistem pengurusan kebudayaan yang sangat menghargai estetika pluraliti.”

Apa yang disajikan dalam buku ini adalah bagaimana politik, khususnya yang dikatakan demokrasi itu, hanya menjadi mainan kata-kata, citra dan alat mediumnya, dan bukan apa yang sebenarnya amalan demokrasi itu. Sehinggakan ada yang benci dengan politik dan demokrasi sendiri, mungkin kerana sudah meluat atau keliru dengan apa yang benar dan apa yang palsu.

Saya rasa Ismail Hashim mahu berkongsi dengan kita tentang hegemoni yang ada, yakni penerimaan rakyat kepada kuasa dan tekanan kuasa pemerintah secara sukarela atau setidak-tidaknya tanpa sedar, kerana sudah menganggap apa yang dijadikan oleh aparat negara, khususnya media, adalah yang benar semata-mata.

Kekuatan yang ada pada buku ini ialah kemampuan penulisnya membawakan teori-teori media untuk merungkai isu-isu semasa. Sesetengah isu mungkin tidak dianggap isu lagi, namun isi dan makna isu tersebut dibantu dengan kupasan pengarangnya yang mempunyai kekuatan minda akademik. – Roketkini.com

 

* Tulisan ini adalah kata pengantar kepada buku Politik Citra di Malaysia: Antara Kebenaran dan Kepalsuan karya Ismail Hashim Yahaya. Untuk keterangan lanjut sila  klik di sini.