Berita

Ugut bakar Bible: Alasan ‘pertahan Islam’ bakal ditiru ekstremis di masa depan

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Tindakan kerajaan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri mempertahankan ugutan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali amat berbahaya, kerana bakal memupuk golongan ekstremis untuk turut membuat ancaman yang sama, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Beliau berkata, golongan ekstremis yang sering cuba mencetuskan sentimen kaum dan agama akan menggunakan alasan sama untuk membebaskan diri daripada didakwa.

“Tindakan BN dan Nancy sangat berbahaya, kerana ia membolehkan kumpulan ekstremis lain memberikan alasan yang sama,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Beliau mendesak kerajaan menukar keputusan itu dan mengambil tindakan terhadap Ibrahim di bawah undang-undang, bagi mengelakkan hilangnya sikap toleransi terhadap golongan bukan-Muslim yang seterusnya mengancam keharmonian negara.

Alasan Nancy yang juga merupakan Ahli Parlimen Batang Sadong bahawa Ibrahim mengugut membakar Bible bahasa Melayu demi ‘mempertahankan Islam’ mengundang kecaman pelbagai pihak.

Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Tan Sri James Masing berkata bahawa kegagalan kerajaan mengambil tindakan terhadap Ibrahim meletakkan golongan ekstremis di atas undang-undang.

Dalam pada itu, Guan Eng menyatakan penghargaan terhadap sokongan masyarakat Muslim yang mengecam kenyataan Nancy.

“DAP menghargai sokongan kumpulan-kumpulan Muslim yang turut sama terkejut dan menentang justifikasi yang diberikan Nancy, dengan memberi peringatan bahawa Al-Quran melarang membakar kitab suci agama lain,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.

Semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar kenyataan tersebut dan berkata, “ia hanya pendapat Umno dan BN…(kerana) Islam melarang perbuatan mengancam dan menindas agama lain.” – Roketkini.com