Berita

Belanjawan 2015: Pembaziran berterusan, Jabatan Perdana Menteri antara paling tidak telus

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Belanjawan 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam menunjukkan Perdana Menteri memungkiri janji untuk mengurangkan pembaziran dan meningkatkan ketelusan dalam perbelanjaan.

Menurut Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming, perkara itu jelas apabila Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa perbelanjaan dianggarkan akan meningkat kepada RM273.94 bilion, iaitu peningkatan sebanyak RM9.74 bilion atau 3.7% daripada anggaran dalam Belanjawan 2014.

“Ketika rakyat semakin terbeban dengan peningkatan kos sara hidup akibat program rasionalisasi dan pengenalan GST pada tahun 2015 nanti, Belanjawan 2015 jelas menunjukkan bahawa kerajaan belum mula mengekang perbelanjaannya sendiri,” tegas Kian Ming.

 Jelas beliau lagi, menurut Laporan Ekonomi 2014/2015, jumlah yang dibelanjakan untuk pembekalan dan perkhidmatan dijangka akan meningkat sebanyak 4.6%, iaitu daripada RMRM36.4 bilion kepada RM38.1 bilion walaupun Laporan Audit Negara saban tahun menunjukkan bahawa pembaziran paling banyak berlaku ialah dalam kedua-dua bidang tersebut.

Kian Ming mempersoalkan janji Najib untuk membuat pengurangan perbelanjaan dalam sektor perkhidmatan awam dalam keadaan perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri sendiri dijangka akan meningkat.

“Perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri sendiri dijangka akan meningkat sebanyak RM2.6 bilion, peningkatan paling banyak di kalangan semua kementerian, malah mengatasi peningkatan peruntukan untuk Kementerian Pendidikan,” ujarnya.

Lebih membimbangkan, peningkatan tersebut untuk perkara dalam perbelanjaan pembangunan yang kurang telus dari segi tujuannya.

“Sebagai contoh, di bawah nama ‘Projek Khas’, perbelanjaan pembangunan meningkat dari RM180 juta pada tahun 2014 kepada RM1.61 bilion pada 2015, peningkatan sebanyak RM1.43 bilion atau 793.1%.

“Jenis perbelanjaan samar sebegini yang cuba dikurangkan menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Anti-Rasuah di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP). Malangnya, Perdana Menteri tidak mempedulikan nasihat daripada unit dalam kementeriannya sendiri,” kata Kian Ming. – Roketkini.com