Berita

Pertahan Ibrahim Ali: Gani Patail ‘hilang moral’, digesa letak jawatan

KUALA LUMPUR, 11 OKT: DAP menggesa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail agar meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara berikutan kegagalannya melaksana tugas dengan adil.

Ketua Biro Undang-Undang DAP Gobind Singh Deo berkata, rakyat tidak tahan lagi dengan sikap Gani yang lemah dan memilih dalam melakukan pendakwaan.

‪“Gani telah gagal melaksanakan tugasnya sebagai pendakwaraya dan harus berundur dari memegang jawatan sebagai Peguam Negara.

“Dia telah kehilangan moral untuk kekal sebagai Peguam Negara kerana gagal bertindak terhadap sikap melampau yang menggugat sensitiviti kaum dan agama,” kata Gobind dalam satu kenyataan.

Pejabat Peguam Negara yang diterajui Gani mengesahkan bahawa pihaknya tidak akan mendakwa Ibrahim Ali yang membuat ugutan membakar Bible bahasa Melayu dengan merujuk Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang menghalang agama lain disebarkan kepada orang Islam.

Kenyataan tersebut berdasarkan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng 8 Oktober lalu bahawa ugutan Ibrahim hanya ditujukan kepada individu yang menyebarkan Bible versi bahasa Melayu Jawi.

Tegas Gobind, hujah itu salah sama sekali kerana tidak ada sebarang fakta dalam Perkara 11(4) Perlembagaan yang membenarkan suatu pembelaan dibuat untuk melakukan kesalahan jenayah.

Mengulas tindakan tersebut, beliau menegaskan tidak ada individu yang boleh melakukan kesalahan jenayah atas nama mempertahankan agama di negara ini.

“Jika dia memulakan perkara yang menyalahi undang-undang dan berbahaya ini, maka sudah tentu tidak layak bergelar Peguam Negara,” tegasnya.

Ahli Parlimen Puchong itu turut menyelar tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri yang memilih untuk turut mempertahankan kenyataan Gani dan membela Ibrahim Ali.

“Sebagai menteri yang memegang portfolio undang-undang, Nancy sepatutnya memainkan peranan lebih besar.

“Dia mesti menunjukkan bahawa dirinya bebas dan mempunyai keberanian untuk bersuara terhadap Peguam Negara.

“Saya menyeru Nancy bertindak sewajarnya dengan mengkritik keputusan Peguam Negara kerana tidak mendakwa Ibrahim dalam kes ini,” kata Gobind. -Roketkini.com