Berita

Amaran ‘balas dendam’ pengundi Cina tak sokong BN, Najib tak faham demokrasi

KUALA LUMPUR, 12 OKT: DAP menyelar kenyataan tidak bertanggungjawab Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan masyarakat Cina tidak boleh membuat tuntutan dari kerajaan jika masih menyokong pembangkang.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, kenyataan Najib itu bukan sahaja dangkal, malah menunjukkan bahawa Najib tidak faham konsep utama dalam demokrasi.

“Konsep utama dalam demokrasi ialah membenarkan rakyat membuat pilihan mereka dalam pilihanraya. Hak dan kebebasan untuk memilih parti mana dan calon mana mewakili mereka adalah sesuatu yang tidak boleh dipersoalkan.

“Adalah menjadi tanggungjawab parti yang membentuk kerajaan selepas pilihanraya untuk mentadbir dan berkhidmat kepada semua rakyat tanpa perasaan membalas dendam terhadap pengundi yang tidak menyokong mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Najib dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Tahunan MCA pagi tadi menyatakan masyarakat Cina tidak patut menuntut sesuatu dari kerajaan jika berterusan menyokong pembangkang, khususnya DAP.

Najib dipetik sebagai berkata bahawa masyarakat Cina tidak boleh menuntut sesuatu dari kerajaan, tetapi tidak menyokong parti yang memerintah.

“Kamu tak bolehlah buat tuntutan (dari BN) tapi kemudiannya sokong DAP. Kamu minta, kamu sokonglah BN. (Kemudian) kita akan berlaku adil kepada masyarakat Cina,” kata Najib

Justeru itu Loke menegaskan, jika asas demokrasi tidak difahami, apakah kelayakan Najib untuk menjadikan Malaysia sebagai negara demokrasi terbaik dunia.

Beliau mengingatkan Najib bahawa bukan masyarakat Cina sahaja yang tidak menyokong BN, tetapi 52 peratus rakyat menolak parti pemerintah itu.

“Jumlah pengundi masyarakat Cina tidak mencecah 52 peratus dan jumlah ini melambangkan keseluruhan rakyat dari pelbagai kaum, agama yang bersatu menolak BN.

“Saya nak tanya Najib, apakah 52 peratus rakyat yang tidak menyokong BN juga tidak boleh membuat tuntutan?

“Kalau tidak boleh buat tuntutan, apakah 52 peratus rakyat ini dikecualikan daripada membayar cukai termasuk GST?,” soal Ahli Parlimen Seremban itu.

Anthony turut kesal dengan kenyataan Najib tersebut, yang seolah-olah menganggap masyarakat Cina sebagai ‘pengemis’.

“Gambaran yang diberikan ialah masyarakat Cina sering ‘meminta sedekah’ dari kerajaan tetapi tidak menghargai tangan yang memberikan ‘sedekah’.

“Najib harus tahu bahawa rakyat Malaysia tanpa mengira kaum bukanlah pengemis yang meminta sedekah tetapi warganegara dan berhak menuntut layanan adil serta saksama,” tegasnya. -Roketkini.com